MUSA AMAN BERTANDING ATAS TIKET APA?


Alamak…dah gaduh ke ni?
Melalui media sosialnya, bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman memaklumkan beliau akan bertanding di Dun Sungai Manila pada PRN 26 September ini.
Dun Sungai Manila merupakan kawasan baru yang dipecahkan dari Dun Sungai Sibuga, sebuah kawasan yang disandang Musa sejak tahun 1994.
Sebahagian besar penyokong Musa juga difahamkan berada dalam kawasan Dun Sungai Manila.
Musa adalah satu-satunya Adun UMNO yang di Sabah, manakala yang lainnya sudah pun melompat menyertai Bersatu selepas PRU14 yang lalu.
Bagaimanapun, Pengerusi BN Sabah, Bung Mokhtar Radin memberitahu, nama Musa tiada dalam senarai calon BN.
Katanya, tiada perbincangan dengan Musa berkenaan hasratnya bertanding di Sungai Manila itu.
Jadi, Musa akan bertanding atas tiket apa di Sungai Manila nanti?
Mungkinkah beliau akan bertanding sebagai calon Parti Cinta Sabah, milik adiknya, Anifah Aman?
Anifah yang mengetuai parti itu baru-baru ini ada memaklumkan PCS akan meletakkan calonnya di semua 73 kerusi yang dipertandingkan dalam PRN Sabah.
Atau oleh kerana anak Musa, Hafez Yamani yang merupakan Ahli Parlimen Sipitang adalah ahli Bersatu, mungkinkah bekas Ketua Menteri itu akan bertanding mewakili Bersatu menggunakan logo PN sebagai pertukaran anaknya akan terus menyokong Muhyiddin di Parlimen?
Persoalan lain, mampukah Musa membuat kemunculan semula merampas kembali kerusi Ketua Menteri yang kini diduduki Shafie Apdal? (Shahbudindotcom 09/09/2020)