Bersatu, BN umum calon berasingan, berlaku pertindihan kawasan?
Majlis mengumumkan calon pilihan raya BN-PN yang bertukar majlis ramah mesra pada saat akhir mengundang spekulasi pembahagian kerusi tidak mencapai kata sepakat.
Hal ini berkalu selepas Bersatu yang dijadualkan mengumumkan calon dalam majlis itu memutuskan untuk mengadakan majlis berasingan lewat hari ini.
Hal tersebut disahkan Timbalan Pengerusi Bersatu Sabah Masidi Manjun.
“Pengumuman calon akan dibuat oleh parti masing-masing. PN akan mengumumkan calon-calonnya pada jam 3 petang ini di ibu pejabat Bersatu Sabah,” katanya dipetik Malaysiakini.
Sebelum ini, majlis di Kota Kinabalu itu dipromosikan sebagai majlis pengumuman calon sejak Selasa lalu, namun pengerusi majlis hari ini tiba-tiba mengumumkan acara bertukar menjadi majlis ramah mesra selepas tertangguh hampir setengah jam.
Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin tiba sekitar jam 10.45 pagi dan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Md Noor sampai kira-kira 30 minit kemudian.
Hajiji enggan menjelaskan ketika ditanya perubahan tujuan majlis pada saat akhir.
“Kami akan memaklumkan kamu,” katanya kepada wartawan sebelum majlis bermula.
Kegagalan mencapai kata sepakat memungkinkan BN dan PN akan berlaga antara semasa mereka dalam beberapa kerusi yang panas di Sabah sebagaimana ramalan penganalisis politik sebelum ini.