UMNO DAN BERSATU DI SABAH.MULA BEREBUT DAN BERGADUH BEREBUT KERUSI DAN KEMUDIAN BEREBUT KETUA MENTERI


Belum pun tarikh penamaan calon dan pengundian untuk PRN Sabah ditetapkan oleh SPR, tanda-tanda “gaduh besar” antara UMNO dan Bersatu lebih dulu jelas kelihatan.
Dalam reaksi awal kedua-dua parti Melayu itu, mereka kini nampaknya saling berebut kerusi untuk ditandingi.
Paling menonjol, Bersatu yang hanya baru setahun jagung bertapak di Sabah dan entah-entah jari tangan lebih banyak daripada cawangan di setiap bahagian, kini sudah menampakkan nafsu besar untuk bertanding di 45 kerusi dalam PRN akan datang ini.
Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 45 kerusi Dun yang mahu ditandingi itu.
“Kita sudah bersiap-sedia dan mengenal pasti 45 kerusi DUN yang akan ditandingi.
“Bersatu akan mengemukakan calon yang berwibawa, mempunyai kredibiliti, berkemampuan dan mampu membawa kemenangan,” tegasnya lagi.
Hajiji adalah antara 16 Adun UMNO Sabah yang melompat menyertai dan menubuhkan Bersatu di negeri itu selepas PRU14 yang lalu.
Ikrar awalnya ialah menubuhkan Bersatu bertujuan mengukuhkan kedudukan kerajaan negeri Sabah yang dipimpin oleh Warisan.
Tetapi, tiga hari lalu mereka memberi sokongan kepada Musa Aman untuk merampas kembali kerajaan negeri Sabah yang akhirnya membuatkan Shafie Apdal memohon kepada TYT agar Dun dibubarkan untuk pilihanraya semula diadakan.
Dalam reaksi kepada keinginan Hajiji itu, UMNO mengingatkan Bersatu agar jangan bermimpi untuk bertanding sebanyak itu di Sabah.
“UMNO Sabah punyai autonomi menentukan hal calon dan kerusi yang ditandingi. Tetapi kalau sebelum berunding pun Bersatu sudah ghairah mengiklan hasrat bertanding 45 kerusi.
“Itu bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan dalam bersahabat,” kata Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Pengerusi UMNO Sabah, Bung Mokhtar Radin berkata, UMNO secara tradisinya akan tetap mempertahankan 32 kerusi yang ditandingi parti itu dalam PRU14 lalu.
Menurutnya, UMNO Sabah akan mengadakan mesyuarat esok untuk berbincang berkenaan pembahagian kerusi dengan rakan sekutu dalam BN iaitu PBRS dan MCA.
Untuk rekod, UMNO dan Bersatu tiada hubungan politik secara rasmi, kecuali kedua-duanya berada dalam PN di Pusat yang masih belum didaftarkan secara sah.
Daripada 32 kerusi yang tradisinya ditandingi UMNO atau 45 kerusi yang diingini Bersatu, sudah pasti kedua-dua parti saling berebut kerusi yang sama.
Dalam PRU14 lalu, 60 kerusi Dun dipertandingkan di Sabah, tetapi dalam PRN akan datang ini, jumlahnya meningkat kepada 73 kerusi.
Setiausaha Agung BN, Annuar Musa turut mengingatkan Bersatu agar berunding dengan UMNO jika ingin berlakunya pertandingan satu lawan satu dengan Warisan.
Katanya, baik Bersatu atau BN, sesiapa pun boleh bertanding sebanyak mana kerusi yang diingini, tetapi jika ingin pertandingan “straight fight” melawan Warisan, tentulah kena berunding.
“Bagaimanapun pastikan pasti yang lebih kuat diberi laluan,” katanya dalam ciapan di Twitter dengan tulisan huruf besar seolah-olah mengingatkan Bersatu bahawa UMNO lebih kuat berbanding parti tersebut.
Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin pula menempak keinginan Hajiji itu dengan mengingatkan bahawa kewujudan Bersatu di Sabah adalah kerana pembelotan.
Ini dengan jelas membayangkan UMNO tidak akan memberi muka kepada Bersatu dalam PRN Sabah ini.
Ini baru gaduh soal kerusi, itu pun nampaknya akan berlarutan lagi untuk beberapa lama kerana masing-masing inginkan kuasa yang lebih untuk parti masing-masing.
Untuk UMNO, mereka tentu saja bersandarkan kepada kekuatan dan strukrur parti itu yang lebih tersusun, manakala Bersatu semata-mata bergantung kepada kedudukan Muhyiddin Yassin yang kini menjadi Perdana Menteri.
Sama ada soal kerusi ini dapat diselesaikan atau tidak, yang pasti selepas ini mereka akan berbalah pula siapa yang patut jadi Ketua Menteri.
Baik Bung Mokhtar atau Hajiji, kedua-duanya dengan kedudukan sebagai peneraju UMNO dan Bersatu di Sabah, tentu saja ada keinginan untuk menjadi Ketua Menteri melalui PRN kali ini.
Begitu pun, Musa Aman, bekas Ketua Menteri dan satu-satunya Adun UMNO di Sabah dan gagal dalam cubaan merampas kedudukan Shafie Apdal baru-baru ini dan dipercayai telah bermodal besar untuk tujuan itu, pasti tidak akan berdiam diri saja membiarkan peluang terlepas sekali lagi.
Cuma, masalahnya beliau bukan lagi Pengerusi UMNO Sabah dan kedudukan itu kini dipegang oleh Bung Mokhtar.
Dalam keadaan sekarang, bukan saja Musa Aman sukar memastikan beliau dapat jadi Ketua Menteri semula, bahkan juga sulit untuk menentukan dirinya dicalonkan sekali lagi dalam PRN akan datang ini.
Tetapi, sebagai bekas Ketua Menteri sebelum ini, tidak mustahil beliau akan menggunakan pengaruhnya untuk berurusan dengan pemimpin UMNO di Kuala Lumpur bagi memastikan dirinya tetap dipilih sebagai calon, seterusnya berpeluang menjadi Ketua Menteri.
Apa pun, tiga pemimpin ini – Bung Mokhtar, Hajiji dan Musa Aman dijangka akan bersaing sesama sendiri untuk menjadi Ketua Menteri mewakili PN yang tidak didaftarkan untuk berlawan dengan Warisan yang disokong PH yang hanya ada Shafie sebagai calon Ketua Menterinya.
Dengan bergaduh soal kerusi dan berebut jawatan nak jadi Ketua Menteri, ada peluangkah PN menumbangkan Warisan? (Shahbudindotcom 01/08/2020

No comments: