Tidak kira sama ada Bersatu dijemput menyertai Muafakat Nasional atau Muhyiddin Yassin yang ingin membawa Bersatu menyertai gabungan itu, MN mungkin akhirnya akan mempunyai tiga parti di dalamnya.
Jika sebelum ini hanya ada UMNO dan Pas dalam MN, ternampak kemungkinan bertambah pula dengan kemasukan Bersatu selepas ini.
Dalam erti kata lain, jika sebelum ini UMNO dan Pas hanya bermadu dua untuk berkongsi kawasan pilihanraya yang sama, kini sudah bertambah seorang lagi madu untuk berkongsi kasih yang satu.
Sementara dengan UMNO dan Pas pun belum selesai soal pembahagian di kawasan Melayu, bertambah seorang lagi madu tentulah menambahkan lagi sulit perundingan itu.
Sekarang ini, belum pun Bersatu menjadi anggota rasmi MN, perbalahan sudah pun mula nampak tanda-tandanya.
Perbalahan pertama berkenaan siapa yang sebenarnya membawa masuk Bersatu ke dalam MN.
Presiden UMNO, Zahid Hamidi berkata, Muhyiddin Yassin yang memohon untuk membawa masuk Bersatu menyertai MN.
Untuk itu, katanya, Jawatankuasa Induk MN akan memperhalusi permohonan Bersatu itu sebelum meluluskannya.
Tetapi, seorang Ahli MPT Bersatu, Redzuan Mohd Yusof atau Pak Wan menolak kenyataan Zahid Hamidi itu, sebaliknya berkata, Bersatu tidak pernah memohon untuk menyertai MN.
“Muhyiddin tidak pernah memohon menyertai MN, tapi dijemput oleh MN.
“Kenyataan Zahid tidak tepat,” kata Menteri Tugas-Tugas Khas itu lagi.
Kemudian, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa turut mengesahkan bahawa Bersatu memang dijemput secara rasmi untuk menyertai MN.
Katanya, Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Hadi Awang serta Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu telah membincangkan perkara itu sejak berbulan lalu.
“Kira-kiranya kami sudah membuat pelawaan secara rasmi, namun kami tidak tergesa-gesa.
“Setiap parti ada prosedur tersendiri termasuk membawa cadangan itu ke Majlis Tertinggi parti masing-masing untuk dibincangkan,” jelas beliau.
Kemudian, soal pendirian UMNO tidak mahu menyertai Perikatan Nasional juga turut menjadi pertikaian antara parti itu dengan Pas.
Sementara Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, mereka tidak pernah dimaklumkan tentang pendirian UMNO itu, namun ia segera disangkal oleh Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut beliau, pendirian UMNO enggan menyertai PN telah dinyatakan dalam dua mesyuarat terakhir MN sebelum ini.
Apa sudah jadi? Mana satu yang betul?
Yang nyata di sini, belum pun Bersatu menyertai MN, Pas terlihat lebih condong untuk bersama Muhyiddin dalam usaha mengekalkan PN sebagai kerajaan, mungkin antaranya kerana sayangkan kedudukan dalam kerajaan yang dipegang ketika ini.
Bagi UMNO pula, menyertai PN bermakna parti itu kena tunduk kepada Muhyiddin selaku “abang besarnya” sementara di dalam MN pula, UMNO berasakan merekalah “abang besar”.
Selain itu, menjelang PRN Sabah yang masih di peringkat awal sekarang ini, perbalahan berkaitan perebutan kerusi turut mulai membahang antara UMNO dengan Bersatu.
Oleh kerana UMNO tidak mahu menyertai PN, parti itu mungkin berkeras dalam soal pembahagian kerusi untuk seterusnya cuba memastikan jawatan Ketua Menteri Sabah dapat diperolehi.
Begitu juga dengan Bersatu, walaupun masih baru bertapak di Sabah dan akar umbi tidak sekuat mana, tetapi bersandarkan Muhyiddin adalah Perdana Menteri, parti itu telah meletakkan sasaran mahu bertanding sebanyak 45 daripada 73 dalam PRN mendatang ini.
Makna kata, belum pun Bersatu berada di dalam MN dan UMNO dengan keputusan tidak mahu menyertai PN, kedua-dua parti yang bakal bermadu tiga itu sudah mula berkelahi secara terbuka.
Ramai yang bahagia dan mampu mengawal keadaan bila bermadu dua, tetapi jarang yang aman rumahtangga bila bermadu tiga.
Apa yang berlaku sekarang ini hanyalah permulaan, apabila tiba masa Bersatu diterima masuk dalam MN nanti dan ketiga-tiga parti mula berbincang berkenaan pembahagian kerusi yang hampir semuanya di kawasan yang sama, percayalah, porak peranda akan mula melanda gabungan itu
Berbahagi untuk dua pun belum tentu boleh selesai dengan baik, inikan pula setelah bertiga. (Shahbudindotcom 02/08/2020)