Ubah mentaliti pembangkang mesti dimusnahkan
Kemelut pilitik di Sabah yang berakhir dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) menjerumuskan Malaysia ke arah praktik politik yang amat memalukan.
Sistem politik negara ini seolah-olah pada peringkat awal kemerdekaan dan belum mengenal erti demokrasi yang matang. Pembangkang tidak dibenarkan mempunyai kerajaan negeri. Sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat wajib dihapuskan.
Bagi Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, Malaysia seharusnya bergerak ke arah demokrasi yang diiktiraf dunia bukan kekal pada sistem nilai yang tidak bertamadun.
“Adalah amat menyedihkan jika rakyat membuang yang jernih dan ambil yang keruh (mengutamakan kaum dalam politik).
“Sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu senario poilitik negara kita tidak pernah aman. Selalu sahaja ada ‘insiden’ yang bertujuan mengugat Pakatan Harapan (PH).
“Ini menunjukkan kita masih berada dalam takuk lama, politik zaman purba, kerana nilai politik semasa di mana-mana bahagian dunia parti kerajaan dan parti pembangkang di peringkat Persekutuan mesti bekerjasama untuk membangunkan negara dan mensejahterakan rakyat. Tetapi di Malaysia, PH adalah musuh yang mesti dihapuskan oleh pihak lawan,” katanya dipetik.
Justeru itu, Lih Kang berpendapat semua pihak mesti mengamalkan etika politik yang bersih dan beramanah.
Katanya, dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kelak parti-parti yang bersaing harus memberi tumpuan kepada isu-isu harian rakyat bukannya isu perkauman semata-mata, sebagaimana yang sering diamalkan dalam kempen Umno/BN sebelum ini.
“Kita perlu merancang halatuju negara. Politik untuk mengurus-tadbir dan membantu rakyat. Politik bukan jalan mencari kekayaan. Sudah tiba masanya rakyat Malaysia menolak pemimpin-pemimpin politik yang hanya mementingkan diri sendiri. Kalau tidak, negara akan ketinggalan jauh di belakang,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim.
Sementara itu, seorang peniaga di Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Maimunah berpendapat kempen PRN Sabah akan amat menarik apabila Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan Shafie Apdal berganding bahu memusnahkan pertahanan Bersatu, Umno/Bn di sana.
“Gabungan PH-Warisan sebagai kerajaan negeri Sabah adalah gabungan yang terbaik untuk memajukan negeri Sabah tetapi nampaknya usaha yang murni ini akan digagalkan jika rakyat Sabah tidak membuat pilihan yang bijak di peti undi
“Walaupun pimpinan negeri Sabah belum lagi bertukar tangan, saya rasa amat hairan keadaan politik di Sabah sudah jadi sebegini. Apakah makna amalan politik seperti ini?” tanyanya
Beliau hairan bagaimana pemimpin-pemimpin yang tidak berwibawa seperti Musa Aman yang terpalit rasuah puluhan juta ringgit masih diberi sokongan yang padat dan kukuh oleh sebahagian masyarakat. Beliau mengharapkan rakyat Sabah akan membuat pilihan bijak dalam PRN kelak.