PENDAKWAAN TERPILIH KERAJAAN PERIKATAN NASIONAL TERSERLAH



8 Ogos 2020

1. Begitu tinggi usaha pihak tertentu dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk mendesak dan menghukum YB Lim Guan Eng, walaupun kes tersebut telah ditutup oleh SPRM sebelum ini, akhirnya semalam beliau didakwa juga di Mahkamah.

2. Agak luar biasa serta aneh kes projek yang dibuat melalui tawaran terbuka dan pengerusi lembaga tawaran terdiri dari penjawat awam yang bermula hampir 10 tahun dahulu yang telah ditutup kesnya selepas siasatan SPRM diberi tekanan yang luar biasa dan liputan secara meluas oleh kerajaan PN.

3. Adakah ini usaha kerajaan Melayu Islam PN untuk menuntut 'keadilan' keatas 'salah laku' bekas Ketua Menteri dari parti DAP yang pernah menerajui Pulau Pinang?

4. Bersama UMNO dalam Kerajaan PN adalah PAS, sebuah parti yang mendakwa dirinya parti berteraskan Islam yang selalu melaungkan nilai murni keadilan Islam di setiap kampung dan desa.

5. Untuk membuktikan nilai keadilan Islam yang kononnya di hajatkan, PAS hendaklah menuntut membuka kembali siasatan berbagai kes projek sakit dan runtuh terutamanya di negeri Terengganu yang di warisi sekarang dari UMNO.

6. Terengganu di beri nama jolokan yang memalukan iaitu "Terengganu Darul Runtuh" kerana berbelas projek yang runtuh dan sakit semasa dan selepas ianya siap dibina.

7. Diantaranya ialah tiga projek terkemuka yang bernilai hampir RM1 billion iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Taman Ilmu Tembila di Besut dan Kompleks Bebas Cukai Kenyir di Hulu Terengganu.

8. Setelah siasatan runtuhan bumbung Stadium SMZA bernilau RM300 juta dibuat, anehnya tiada sesiapa didapati bersalah. Selain dari runtuhan, dua buah generator serta kabel dan peralatan elektrik bernilai berjuta ringgit juga telah hilang dicuri.

9. Taman Ilmu Tembila Besut bernilai RM350 juta terbengkalai menjadi projek sakit, bangunan pentadbirannya terpaksa dirobohkan dan kabel serta peralatan elektriknya juga dicuri dengan kerugian puluhan juta ringgit. Selepas hampir 20 tahun ianya masih belum dibuka.

10. Kompleks Bebas Cukai Kenyir bernilai hampir 300 juta juga terbengkalai dan masih belum dapat di gunakan sepenuhnya selepas 10 tahun.

11. Demi keadilan, kerajaan Melayu Islam - PN Terengganu yang diterajui PAS melalui Menteri Besar mesti mendesak SPRM menyiasat ke akar umbi kenapa wang rakyat Terengganu yang lebih 95% adalah orang Melayu Islam di bazirkan dan diselewengkan begitu sahaja.

12. Raja Petra Kamaruddin yang tinggal di England telah berjaya memainkan peranan utama mendesak Lim Guan Eng di dakwa dalam kes Terowong Bawah Laut Pulau Pinang selepas 10 tahun.

13. Raja Idris Kamaruddin, adik kepada Raja Petra yang menjadi orang kepercayaan Menteri Besar Terengganu telah dilantik menerajui GLC penting, sepatutnya memainkan peranan mendesak kerajaan Terengganu dan SPRM menyiasat mengapa begitu banyak projek runtuh, tidak siap dan sakit.

14. Berbeza dari projek terowong Pulau Pinang, Projek Taman Ilmu Terengganu melibatkan berbagai kes saman di mahkamah oleh kontraktor Korea dan kontraktor tempatan keatas kerajaan Negeri, termasuk pegawai pegawai Kerajaan dan juga syarikat berkait dengan UMNO melibatkan puluhan juta. Kes ini dipercayai berbau skandal yang besar melibatkan kerajaan dan pegawai tertinggi. Menteri Besar mesti bertindak.

15. Tiada gunanya kepakaran Raja Idris Kamaruddin yang berasal dari Selangor dan beberapa lagi rakan dari luar negeri Terengganu seperti Nurul Islam, Zaidi Talib dan W. Haswari memegang jawatan mendahului peluang kerja anak Terengganu kalau mereka tidak memainkan peranan berkesan menasihati Menteri Besar dengan baik.

16. Ramai rakyat anak Terengganu menyoal peranan mereka. Ada juga yang bertanya adakah Raja Idris masih memegang pasport British seperti abangnya? Raja Petra mempunyai "kekebalan" melempar berbagai tuduhan yang tidak bertanggungjawab dari England dan jauh dari tindakan undang-undang Malaysia.

17. Kalau Lim Guan Eng atas kes Terowong yang belum pun bermula lagi boleh didakwa selepas 10 tahun, projek projek Terengganu yang sudah pun berjalan, runtuh, terbengkalai dengan berbagai kes saman melibatkan warga asing, kontraktor tempatan dan pegawai kerajaan, patut diberi perhatian utama dan tindakan olh Menteri Besar Terengganu.

18. Malangnya, Terengganu telah dikenali sebagai negeri yang mempunyai projek yang berlaku jenayah tanpa penjenayah - "crime without criminals".

19. Atau adakah kerajaan PN mengamalkan pengadilan cara terpilih - "selective prosecution?" Adakah kerana kes Pulau Pinang melibatkan DAP dan bukan Islam ianya diasak habis habisan?

20. Adakah kes kes di Terengganu melibatkan pihak Melayu - Islam jadi tiada minat untuk menuntut keadilan walaupun melibatkan ratusan juta ringgit duit rakyat Terengganu?

21. Adakah kerajaan Melayu Islam PN berhasrat mengamalkan tuntutan murni Agama Islam yang sebenarnya atau hanya sekadar ditunggang untuk kepentingan politik?

22. Islam menuntut keadilan untuk semua tidak mengira agama atau bangsa. Itulah kerajaan Islam yang sebenarnya.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
Pengerusi
PAKATAN HARAPAN Negeri Terengganu.

No comments: