'Mulakan semula langkah ke Putrajaya secara berprinsip'






Penyertaan 600 ahli Bersatu Port Dickson ke dalam KEADILAN pada sambutaan Maal Hijrah semalam boleh dianggap satu permulaan baharu memperkasakan langkah ke Putrajaya.

Penghijrahan ahli Bersatu paksi Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin kebelakangan ini bukan sahaja kepada parti baharu yang ditubuhkan oleh bekas PM Tun Mahathir, tetapi juga melimpah kepada KEADILAN.

Bagi ahli Bersatu yang mahu perjuangan konsisten mewujudkan Malaysia baharu dan terbukti tidak goyah selama 20 tahun, KEADILAN adalah pilihan wajib dan berasas.

Menurut bekas pemimpin Bersatu, Ibrahim Khan Amanulla Khan, KEADILAN mempunyai seorang ikon yang cekal, boleh dipercayai dan tidak pernah lari dari perjuangan, iaitu presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Apabila saya tidak lagi percaya perjuangan Bersatu, tidak susah saya cari pemimpin yang fokus dalam perjuangan. Selama berpuluh tahun, Datuk Seri Anwar, berjuang membina Malaysia yang lebih baik. Beliau hadapi segala cabaran dan tohmahan namun pendiriannya tidak mampu digugat oleh sesiapa.

"Sukar kita mencari pemimpin yang begitu cekal dalam perjuangan. Nama Anwar akan dikenang dalam sejarah negara sebagai pejuang perubahan," ucapnya di majlis penyertaan ahli Bersatu ke dalam KEADILAN semalam.

Bagi Ibrahim, Anwar wajar untuk marah apabila janji penyerahan kuasa dalam tempoh 2 tahun dikhianati pemimpin Bersatu namun sikapnya sebagai negarawan sejati kekal tenang dan lebih mementingkan rakyat berbanding mengejar kuasa.

Ibrahim mengenang kembali ketika Anwar dicari sehingga ke penjara bagi memastikan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum ke 14. Namun perjuangan yang tidak mengutamakan rakyat, katanya, berakhir dengan pengkhianatan.

Yakin dengan tekad berjuang mewujudkan Malaysia yang lebih baik, Ibrahim dan rakan-rakan bertekad akan meneruskan perjuangan dalam wadah KEADILAN bagi memulakan sekali lagi perjuangan rakyat menawan ke Putrajaya.

"Oleh itu, saya membuat keputusan meninggalkan Bersatu dan berhijrah ke dalam KEADILAN. Ingin saya maklumkan bahawa saya tidak bersendirian. Bersama-sama saya ialah 600 ahli yang lain untuk menyertai KEADILAN.

"Saya berharap agenda mewujudkan sebuah Malaysia yang bersih dan bermaruah akan dapat diteruskan. Laluan ke Putrajaya akan kita mulakan semula dengan semangat dan prinsip yang betul," katanya.
 

Sebelum itu, Ibrahim menyentuh mengenai perjuangannya sebagai antara pengasas Bersatu di Negeri Sembilan. Betapa parti lamanya komited menentang kletokrasi sehingga rakyat Negeri Sembilan tidak ragu-ragu memberi mandat dalam Pilihan Raya Umum ke 14 lalu. Namun, kemudiannya dengan tanpa rasa bersalah para pemimpin Bersatu bersekongkol pula bersama pemimpin rasuah yang mereka tentang habis-habisan.

"Kita harungi pelbagai cabaran. Perjuangan asal Bersatu sangat sukar. Saya adalah antara yang terawal menyertai Bersatu.

"No keahlian 136. Waktu itu kita mahu melahirkan Malaysia baru yang boleh dibanggakan. Matlamat kita membasmi rasuah dan menjatuhkan kerajaan kleptokrat. Saban hari kita dendang matlamat ini. Ternyata rakyat teruja dan telah memberi sokongan sehingga Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

"Saya hairan bagaimana kita boleh menghancurkan amanah yang diberi. Kita menubuhkan Bersatu dengan ramai yang berkorban dalam usaha penubuhan.

"Kita lupa pengorbanan pejuang asal Bersatu. Apa yang hendak kita cari? Bagaimana kita boleh berkumpul dengan pemimpin yang dulunya kita tentang?" soalnya.

Turut menyertai Bersatu bersama Ibrahim adalah Ketua Pemuda dan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Port Dickson, Bendahari dan Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu Cawangan Telok Kemang serta AJK cawangan.

Majlis itu diadakan di pusat peranginan Tasik Villa International Resort, Port Dickson dan disaksikan wakil khas Anwar di Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bersama beberapa ahli politik tempatan.


No comments: