TIGA PELUANG TERBUKA BUAT UMNO


Dalam Sidang Parlimen bermula 13 Julai ini, tiga perkara berikut dijadual akan berlaku:-
Pertama, usul menukar Speaker Parlimen, Mohamad Ariff Md Yusoff yang akan dibawa oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Kedua, usul percaya terhadap Muhyiddin yang akan diusulkan oleh Pas.
Ketiga, usul tidak percaya terhadap Muhyiddin yang akan dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad.
Dalam ketiga-tiga usul di atas, jika salah satu daripadanya saja yang tidak memihak kepada Muhyiddin, pilihan yang ada baginya ialah sama ada beliau perlu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri atau membubarkan Parlimen.
Apabila tewas, biasanya pilihan yang diambil ialah membubarkan Parlimen bagi pilihanraya baru diadakan.
Dengan itu, sementara PH atau PH Plus begitu berhasrat menjatuhkan Muhyiddin kerana menganggap kerajaan yang dibinanya tidak didirikan berasaskan mandat rakyat, tiga peluang ini juga turut terbuka untuk UMNO mencapai tujuan menukar kerajaan daripada Perikatan Nasional kepada Muafakat Nasional.
Lebih-lebih lagi, 28 Julai ini merupakan hari di mana Mahkamah Tinggi akan memberikan keputusan berhubung kes rasuah SRC International melibatkan Najib Razak.
Jika angin yang bertiup tidak begitu baik untuk masa depan politik Najib, menewaskan Muhyiddin dalam salah satu daripada tiga peluang terbuka itu dan seterusnya Parlimen akan dibubarkan bagi pilihanraya semula diadakan, tentu saja merupakan pilihan yang lebih baik buat UMNO.
Lagi pula, sesuai dengan kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mahu pilihanraya semula diadakan segera, inilah masanya untuk mereka merealisasikan hasrat tersebut. (Shahbudindotcom 04/07/2020)

No comments: