Tamparan hebat buat Peja, Umno Perak cadang bubar Bersatu


Tamparan hebat buat Peja, Umno Perak cadang bubar Bersatu


UMNO Perak mencadangkan agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibubarkan dan keseluruhan ahlinya menyertai semula UMNO.
Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, penyertaan semula bekas ahli ke dalam UMNO bukan sesuatu yang baharu memandang ia pernah berlaku selepas Parti Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996.
Menurutnya, ketika itu pemimpin Parti Semangat 46 seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Rais Yatim menyertai UMNO sebagai ahli biasa sebelum menang sebagai ketua bahagian.
“Jika orang Bersatu berjiwa besar, dia pun ada masalah, parti mereka kecil jadi bubar Bersatu, semua ahli Bersatu marilah masuk UMNO. Tapi tak boleh pegang jawatan lagilah, kena tunggulah.
“Tahun depan ada pemilihan UMNO bertandinglah. Kalau menang, menanglah,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, cadangan sesetengah pihak supaya UMNO dan Bersatu bergabung juga sukar untuk dilaksanakan.
Katanya, sebagai parti yang besar dengan keahlian melebihi tiga juta di seluruh negara, UMNO tidak akan bergabung dengan Bersatu dan cadangan itu pasti tidak dipersetujui majoriti ahli.
Dalam pada itu, Saarani menjelaskan cadangan tersebut disuarakan oleh pelbagai pihak sebelum ini bertujuan memastikan UMNO, Pas dan Bersatu tidak bertembung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Exco Pembangunan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Perak itu berkata, pertembungan tiga parti itu akan memberikan kelebihan kepada pihak lawan.
Beliau berkata, selain penggabungan UMNO dan Bersatu terdapat cadangan supaya semua parti dibubarkan dan hanya diwujud sebuah parti Melayu sahaja.
Bagaimanapun menurutnya, perkara itu mustahil untuk dilaksanakan kerana perlu dibawa ke mesyuarat agung untuk diputuskan.