TIGA MP UMNO TAK SOKONG MUHYIDDIN



Sidang Parlimen 13 Julai hingga 27 Ogos ini adalah cabaran sebenar buat Muhyiddin Yassin sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.
Beliau bukan saja dijangka akan berhadapan dengan usul undi tidak percaya yang akan diusulkan oleh Tun Mahathir Mohamad terhadapnya, bahkan juga dalam cubaan untuk memastikan usulnya sendiri untuk menukar Speaker, Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, menemui kejayaan.
Kedua-dua usul tersebut, jika tidak memihak kepada Muhyiddin, ia dengan sendirinya akan memberi kesan kepada kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
Oleh kerana usul membuang Speaker, melantik Speaker baru, membuang Timbalan Speaker dan melantik Timbalan Speaker baru dibawa sendiri oleh Muhyiddin dan diletakkan dalam Aturan Mesyuarat No 2 hingga No 5, maka ia akan dilakukan sebaik saja Sidang Parlimen dimulakan pada hari Isnin, 13 Julai itu.
Usul undi tidak percaya oleh Tun Mahathir pula diletakkan dalam Aturan Mesyuarat No 27.
Berdasarkan susunan tempat duduk pada Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, kelebihan yang ada pada Muhyiddin berbanding blok pembangkang hanyalah satu kerusi saja.
Ini bermakna, dalam cubaan beliau mahu menukar Speaker dan Timbalan Speaker, ia bukanlah suatu usaha yang mudah, walaupun Muhyiddin dilihat ada keyakinan untuk memenanginya.
Sementara blok pembangkang telah membuat ketetapan untuk menolak usul Muhyiddin itu, sumber daripada blok kerajaan pula memperlihatkan lebih ketidakpastian dalam sokongan yang akan diterima oleh Perdana Menteri.
Difahamkan sehingga ini sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen UMNO diberi bayangan serta diperbualkan mungkin tidak menyokong Muhyiddin, baik dalam usul membuang Speaker dan Timbalan Speaker atau usul undi tidak percaya.
Memandangkan usul Muhyiddin itu perlu melalui Speaker sedia ada terlebih dahulu iaitu Mohamad Ariff sendiri, beliau hampir pasti akan memutuskan usul membuangnya dan Nga Kor Ming itu dilakukan secara undi sulit.
Dengan yang demikian, tiada masalah bagi tiga Ahli Parlimen UMNO itu untuk mengundi yang tidak memihak kepada Muhyiddin.
Sumber lain pula menyebut, mungkin juga tiga Ahli Parlimen UMNO itu akan mengambil sikap berkecuali dalam pengundian atau tidak hadir sama sekali ke Parlimen ketika usul dibentangkan.
Dengan yang demikian, berbanding majoriti asal blok kerajaan hanya ada satu undi, kekurangan tiga undi itu dengan mudah membuatkan Muhyiddin dapat dikalahkan.
Dalam usul undi tidak percaya, ia juga dipercayai akan dilakukan secara undi sulit dan dengan itu ia tidak menjadi masalah kepada tiga Ahli Parlimen UMNO yang sama untuk tidak memberi sokongan kepada Muhyiddin.
Dalam usul undi tidak percaya itu, oleh kerana kekalahan Muhyiddin akan memungkinkan Parlimen dibubarkan, cakap-cakap dalam UMNO juga sedang berkembang bahawa tidak mustahil lebih ramai Ahli Parlimen parti itu akan turut tidak menyokong Perdana Menteri.
Sokongan mereka adalah semata-mata dengan harapan agar kekalahan Muhyiddin akan membuka ruang kepada Parlimen dibubarkan dan pilihanraya mengejut diadakan, sekaligus membolehkan pemimpin UMNO dilantik sebagai Perdana Menteri baru.
Dalam hal ini, UMNO yang bekerjasama dengan Pas dalam Muafakat Nasional berkeyakinan penuh gabungan itu mampu memenangi jumlah kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan kiranya pilihanraya mengejut diadakan.
Diberitakan, dalam hal ini, selain tiga Ahli Parlimen tadi, sekurang-kurangnya ada lima lagi Ahli Parlimen UMNO tidak pernah berganjak daripada pendirian perlunya pilihanraya mengejut diadakan segera bagi mengembalikan kuasa parti itu sebagai peneraju pentadbiran negara ini berbanding membiarkan Muhyiddin lebih lama di puncak kuasa.
 (Shahbudindotcom 09/07/2020)


No comments: