POLITIK DAN PERSEKITARAN


JAMZURI ARDANI

Sentimen politik rakyat sentiasa dinamik dan berubah. Tidak ada satu parti politik yang boleh menguasai sentimen politik secara keseluruhan. Ianya dipengaruhi oleh faktor persekitaran yang terlalu kompleks untuk diatur oleh mana-mana kelompok.

Parti politik yang berprinsip tidak boleh terlalu mengikut arus sentimen semasa, tetapi perlu sentiasa peka dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan semasa dan arus sentimen rakyat.

Parti Amanah adalah parti yang agak baru secara relatifnya. Pengalaman parti politik baru memang mencabar. Parti Semangat 46 tidak mampu bertahan lama. Parti Keadilan Rakyat juga pernah berada dalam situasi yang cukup genting ketika awal penubuhannya dengan hanya mempunyai satu kerusi Parlimen di Permatang Pauh dengan majoriti tipis 500 undi sahaja. Ramai aktivis dan muka besar parti yang keluar meninggalkan parti. Parti PPBM juga sedang mengalami krisis yang besar sebelum pun parti itu sempat mengadakan pemilihan jawatan di peringkat kebangsaan.

Jika dibandingkan dengan pengalaman parti-parti baru yang lain, saya fikir parti Amanah masih punya track record yang baik. Bukanlah bermakna tiada cacat cela, tetapi tidaklah seteruk pengalaman parti-parti baru yang lain.  Fenomena terdapatnya aktivis atau pimpinan parti yang keluar masuk parti, itu perkara lumrah yang berlaku dalam mana-mana parti politik.

Tetapi posisi politik yang diambil oleh Amanah adalah signifikan dan berani. Amanah sekarang ini menjadi satu-satunya parti yang 'Malay-dominan' yang menentang dominasi politik Umno/BN.  Semua 'parti Melayu' lain sekarang ini hanya mampu menjadi ekor kepada Umno/BN. Amanah tetap teguh berdiri menentang dominasi politik Umno/BN.

Saya katakan Amanah adalah 'Malay-dominan' kerana 85% keanggotaan parti itu adalah terdiri dari kalangan orang Melayu beragama Islam walaupun parti itu adalah terbuka kepada semua kaum dan agama.  Amanah bukan sahaja 'Malay-dominan', terapi mempunyai orientasi dan kecenderungan yang jelas terhadap penghayatan agama.

Selain teguh menentang Umno/BN, Amanah juga adalah satu-satunya parti 'Malay-dominant' yang mesra dengan DAP, iaitu parti terbesar yang disokong oleh masyarakat bukan Melayu di negara ini. Walaupun posisi politik ini mungkin dianggap menjadi liabiliti besar kepada Amanah dalam suasana sentimen politik semasa di kalangan orang Melayu sekarang, ia mungkin bertukar menjadi aset politik yang penting di masa akan datang kerana sentimen politik rakyat tidak selamanya kekal begini. Apabila berlaku gelombang besar politik atas apa jua sebabnya, parti politik yang berada di posisi yang betul pada masa itu akan menerima manfaat besarnya.

PAS dulunya tidak pernah merancang untuk Umno memecat Anwar. Tetapi PAS mengambil keuntungan politik yang paling besar apabila berlakunya gelombang politik baru pasca pemecatan Anwar.  Ini kerana posisi politik yang diambil oleh PAS waktu itu memang bertepatan dengan sentimen politik semasa.

Begitu juga dengan tsunami politik yang berlaku pada tahun 2008. Parti Keadilan yang berada dalam keadaan yang sangat lemah waktu itu dapat laba politik besar apabila berlaku hayunan politik di kalangan pengundi bukan Melayu terutamanya. DAP juga begitu. Tsunami politik yang berlaku itu bukan perancangan DAP atau Keadilan, tetapi ia berlaku atas faktor-faktor yang pelbagai yang di luar kawalan mana-mana parti politik. Tetapi apabila ia berlaku, parti politik yang berada pada posisi yang tepat dengan gelombang sentimen tersebut mendapat labanya.

Sentimen politik di kalangan orang-orang Melayu dan bukan Melayu juga skan sentiasa berubah dari masa ke semasa. Itu bukan perkara yang perlu dibimbangi secara berlebihan.  Apa yang penting Amanah perlu teguh berdiri pada posisi politik yang tepat mengikut apa yang dihasratkan oleh ahli dan pimpinan parti.  Saya fikir posisi politik yang perlu dipertahankan oleh Amanah ialah
1. Mutiracial and Malay-dominan
2. Berorientasikan penghayatan agama
3. Sederhana dan menolak ekstrimis/takfiri
4. Mesra masyarakat bukan Melayu/bukan Islam
5. Demokrat dan terbuka
6. Memperjuangkan ketelusan dan good governance.
7. Berkolisi dengan mana-mana blok politik yang menentang Ummo/BN


No comments: