KENYATAAN MEDIA PENASIHAT UMUM AMANAH

Usah dilayan gerakan penubuhan kerajaan 'pintu belakang', nasihat ...

Negara dan Pakatan Harapan (PH) sedang berhadapan dengan suasana yang genting dan merisaukan.

Allah sedang menguji kita dengan satu ujian yang mencabar untuk melihat kejujuran dan kesabaran serta  semangat setiakawan antara kita.

Media sosial memainkan peranan yang penting dalam menentukan kita berjaya atau tidak mengharungi ujian ini.

Janganlah kita menjadikan media sosial sebagai medan untuk mengadu domba  dan memecahkan sesama kita.

Sehubungan dengan itu, saya memohon semua ahli dan penyokong PH khasnya AMANAH supaya berdoa agar kita sentiasa dilindungi Allah dan memandu jari jemari kita agar menulis sesuatu untuk menyatukan bukan untuk meruntuhkan perpaduan yang telah kita bina selama ini.

Kita perlu bertenang, mengenali siapa musuh siapa kawan dan sentiasa tabayyun apabila menerima sesuatu maklumat.

Dalam suasana ini  saya juga memohon kepada semua ahli AMANAH agar mengadakan Solat Hajat, berdoa serta beristighfar semoga  negara dan PH dipandu oleh Allah agar keluar dari suasana yang kritikal ini.

Sekian, semoga segala usaha kita diberkati dan keluar dari suasana kritikal ini dengan kemenangan dan mendapat keredhaan Allah.


DATUK SERI AHMAD AWANG
Penasihat Umum AMANAH.

Pada 29 Syawal 1441 Hijrah bersamaan 21 Jun 2020