SETELAH TIADA LAGI PENGKHIANAT, ADU DOMBA, BODEK, GANDINGAN ANWAR DAN MAHATHIR PASTI LEBIH KUKUH



Berdasarkan kesepakatan mengeluarkan kenyataan media bersama antara Tun Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim semalam, jelas kini hubungan mereka berdua kembali bertaut semula.
Ternampak sekarang mereka akan bersatu, bukan saja untuk bersama-sama menentang kerajaan tebuk atap pimpinan Muhyiddin Yassin, bahkan untuk mengembalikan mandat rakyat kepada PH semula.
Paling dekat, kebersamaan itu bakal diperlihatkan dalam usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin yang telah pun diterima oleh Speakar Parlimen untuk dibawa ke Dewan Rakyat.
Sama ada usul itu akan diberi masa pada 18 Mei nanti atau Julai akan datang, ketakutan dan demam sejuk pasti sedang menghantui Muhyiddin ketika ini.
Minggu lepas, Pengerusi Bersatu itu bersama Presiden Warisan, Shafie Apdal turut mengeluarkan kenyataan bersama PH yang membabitkan Anwar, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu untuk mendesak Sidang Parlimen pada 18 Mei nanti diadakan lebih daripada sehari.
Bermakna, kenyataan bersama semalam adalah kali kedua melibatkan Tun Mahathir dan Anwar secara langsung.
Sebenarnya, Tun Mahathir dan Anwar sudah pun bekerjasama dalam soal pemilihan Perdana Menteri pusingan kedua sebelum ini yang kemudiannya Muhyiddin dipilih oleh Yang Dipertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Apabila dalam pusingan pertama di mana semua Ahli Parlimen ditemubual oleh Yang Dipertuan Agong, tidak ada pihak yang mendapat sokongan majoriti, Anwar seterusnya setuju memberi sokongan kepada Tun Mahathir untuk dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri dalam pusingan yang kedua.
Tetapi, kerjasama itu tidak menjadi kenyataan kerana Muhyiddin lebih dulu dipersetujui oleh Yang Dipertuan Agong untuk dipilih sebagai Perdana Menteri dengan sokongan UMNO, BN, Pas serta GPS.
Bagaimanapun, hubungan Tun Mahathir dan Anwar itu semacam retak apabila dalam interbiu dengan media selepas itu, Tun Mahathir didapati melakukan serangan kepada Anwar berkaitan kelayakannya sebagai pemimpin dan pemikirannya yang dianggap liberal.
Anwar pula kemudian membalas dengan melahirkan kekecewaan kenapa beliau diserang terus-menerus begitu oleh Tun Mahathir.
Seterusnya, berlakulah PKP yang mana semua orang terpaksa duduk di rumah, termasuk Tun Mahathir dan Anwar.
Dalam keadaan tiada sebarang komunikasi itu, sementara Tun Mahathir banyak berdiam diri manakala Anwar muncul setiap hari mengupas isu-isu semasa melalui Live FB, ramai yang beranggapan hubungan mereka sudah berakhir begitu saja.
Begitu pun, menjelang beberapa ketika sebelum Sidang Parlimen 18 Mei depan di mana Tun Mahathir merancang untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, terdapat keperluan untuk mereka berbaik semula demi kepentingan bersama.
Dengan masing-masing menyedari bahawa hanya dengan bekerjasama saja usul itu lebih mungkin menjadi kenyataan, difahamkan telah berlaku komunikasi, baik secara tidak langsung dan langsung, antara Tun Mahathir dan Anwar.
Maka, apabila semalam mereka mengeluarkan kenyataan bersama dengan sama-sama tidak mengiktiraf kerajaan yang ada sekarang, bermaknalah hubungan itu telah kembali bertaut semula.
Sebagaimana, gandingan Tun Mahathir dan Anwar telah berjaya menumbangkan UMNO dan BN pada PRU14 lalu, kini mereka berpakat semula untuk menyingkirkan PN, kerajaan tidak diiktiraf yang didalamnya bergabung golongan pengkhianat, pembelot dan pengadu-domba, termasuk dengan menjual nama bangsa dan agama.
Selain sama ada gandingan kali ini boleh berjaya atau tidak yang menjadi persoalan, turut diperkatakan ialah bolehkah ada keharmonian dan saling percaya mempercayai antara mereka berdua?
Diperbualkan juga tidakkah jika PH berjaya menjadi kerajaan semula nanti, akan berlaku lagi episod mungkir janji atau desak-mendesak antara Tun Mahathir dan Anwar seperti sebelum ini?
Dalam hal ini, baik Tun Mahathir mahu pun Anwar, dalam kenyataan bersamanya masing-masing menyedari mereka telah berusia dan apa yang mereka ingin lakukan sekarang hanyalah untuk mengembalikan mandat rakyat kepada pihak yang sepatutnya.
Perjuangan mereka bukan lagi untuk peribadi, tetapi untuk mengembalikan maruah PH yang telah dirampas dengan menolak perbezaan, sengketa serta kemelut yang wujud selama ini demi semata-mata kerana rakyat.
Keyakinan bahawa hubungan Tun Mahathir dan Anwar kali ini lebih kukuh dan harmoni ialah kerana tiada lagi golongan pengkhianat yang berada di dalam PH.
Dahulu, hubungan mereka bukan saja diganggu-gugat oleh golongan pengkhianat itu, malah lebih buruk muncul pula pengadu domba dan tukang kipas yang menjual nama bangsa dan agama yang berada di luar PH yang jelas sangat takut kepada peralihan kuasa yang sudah dijanjikan kepada Anwar.
Mereka itulah yang berusaha sepanjang masa mengkucar-kacirkan PH dan hubungan antara Tun Mahathir dengan Anwar.
Sekarang ini semuanya telah tiada dalam PH di mana golongan pengkhianat, pengadu domba dan tukang kipas telah bercampur gaul berada dalam PN bersama Muhyiddin yang juga dianggap sebagai pengkhianat sama.
Oleh itu, kembalinya bersatu Tun Mahathir dan Anwar kali ini, hubungan mereka pasti lebih baik, lebih diyakini dan lebih kukuh berbanding sebelumnya. (ShahbudinHusin 10/05/2020)


No comments: