Meneliti kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berhubung sidang Parlimen pada 18 Mei nanti, ternampak semacam kerajaan enggan memberi ruang kepada pembentangan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, hanya usul kerajaan akan dibentangkan pada sidang sehari tersebut.
Katanya lagi, antara usul kerajaan yang akan dibentangkan ialah perlantikan Ketua Pembangkang, perlantikan Pengerusi PAC atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, memilih Jawatankuasa Pilihan Parlimen dan usul menangguhkan perbahasan titah pembukaan Yang Dipertuan Agong.
Manakala rang undang-undang yang akan dibentangkan pula, tambah beliau, ialah berkaitan dengan kewangan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2019 dan 2020 bagi bacaan kali pertama dengan bacaan kali keduaa diadakan pada sidang Parlimen pada 13 Julai akan datang.
Untuk itu, tegas Takiyuddin, usul daripada pembangkang yang telah diterima oleh Speaker, jika tidak sempat dibentangkan pada Sidang Parlimen 18 Mei ini, ia akan dibawa kepada 13 Julai.
Nyata daripada kenyataan Takiyuddin itu, usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang akan dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad tidak akan diberi ruang pada Sidang Parlimen 18 ini, walaupun ia memenuhi tiga syarat utama – perkara tertentu, untuk kepentingan ramai dan perlu disegerakan.
Tetapi, sejak kebelakangan ini, Muhyiddin terlihat begitu aktif dalam mengeluarkan surat-surat lantikan kepada beberapa Ahli Parlimen untuk menerajui GLC.
Sehingga ini sekurang-kurangnya sekitar 30 Ahli Parlimen penyokong kerajaan telah diberikan surat lantikan menerajui GLC yang mana tujuannya tentu tidak lain untuk mengikat mereka agar menyokong Perdana Menteri dalam usul undi tidak percaya yang akan dibawa Tun Mahathir itu.
Soalnya, kenapa setelah melakukan lantikan demi lantikan itu, tetapi usul undi tidak percaya Tun Mahathir masih juga tidak kepastian untuk diberi ruang?
Apa lagi yang Muhyiddin takutkan sehingga mahu menunda-nundanya kepada Julai pula?
Bukankah soal kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri perlu ditentukan kesahihannya dengan segera agar tidak timbul lagi pertikaian yang berterusan?
Walaupun difahami urusan dan usul kerajaan adalah penting dan perlu didahulukan, namun kerajaan ada kuasa untuk memberi ruang kepada usul yang dibawa oleh pihak pembangkang.
Dalam hal ini, bukankah lebih berwibawa jika Muhyiddin mengamalkan “new normal” dengan tidak meminggirkan begitu saja usul pihak pembangkang, lebih-lebih lagi yang berkaitan kedudukannya sebagai ketua kerajaan, di samping tidak mengenepikan usul-usul kerajaan?
Lagi pula, dengan takut membenarkan usul undi tidak percaya itu daripada dibentangkan pada 18 Mei ini atau cuba menundanya kepada Julai, ia hanya menambahkan lagi persepsi rakyat bahawa Muhyiddin masih tidak mempunyai cukup sokongan majoriti di belakangnya.
Atau betul-betul sebenarnya Muhyiddin ini hanya ada sokongan minoriti saja sejak dulu lagi?
(ShahbudinHusin 10/05/2020)