Abdul Rahman Dahlan
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
KUALA LUMPUR – Tindakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipersoalkan apabila menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sedangkan beliau juga mahu bekerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan mempertikaikan pendirian Ahli Parlimen Semporna itu yang dilihat mahu bermain politik dengan selamat tanpa bersikap berkecuali dalam dua kem dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
“Apa punya pendirian ini? Mahu main dua kolam? Mahu main selamat? Adakah ahli-ahli Parlimen Warisan akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri bila sidang parlimen berlangsung bulan Mei ini?
“Saya masih teringat Datuk Seri Shafie dulu memberi alasan bahawa ahli-ahli Parlimen BN melompat ke Warisan kerana mereka mahu bersama dengan kerajaan untuk meneruskan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Apapun, hari ini adalah pandangan Datuk Seri Shafie di depan tabir. Esok lusa kita tunggu pula pendirian di belakang tabir ahli-ahli Parlimen Warisan. Pastinya menarik untuk mendengar bisikkan peribadi mereka,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya, semalam.
Abdul Rahman juga membayangkan jika Shafie terus tidak berpendirian tetap, beliau tidak menolak kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah tidak berpeluang untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Sabah.
“Apakah pendirian PPBM Sabah pula? Apakah mereka masih mesra Warisan di Sabah sedangkan Perdana Menteri mereka tidak disokong oleh Warisan?
“Datuk Seri Shafie menidakkan peluang ahli-ahli Parlimen Warisan untuk menjadi menteri dan timbalan menteri atau memegang jawatan dalam agensi dan GLC kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette