MGF04032020_MAJLIS-TEMU-RAPAT19
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian penduduk yang hadir pada Majlis Temu Rapat Khas Aktivis Pakatan Harapan Gombak bersama Pimpinan PH Peringkat Nasional di Pusat Khidmat Peduli Rakyat DUN Hulu Kelang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghubungi bekas menteri-menteri Pakatan Harapan untuk menawarkan jawatan menteri.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu mendakwa Muhyiddin membuat tawaran sedemikian jika bekas menteri-menteri PH menyokong beliau.
Dakwaan Khalid itu menyusul selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau pernah ditawarkan jawatan Perdana Menteri.
“Sekarang Muhyiddin dan pasukan dia dalam kerajaan ada hubungi bekas menteri Pakatan Harapan untuk tawarkan jawatan menteri dalam Kabinet.
“Tak sedia nak cari orang yang berintegriti dan bersih, dia nak tawarkan jawatan kepada kami,” katanya dalam majlis temu rapat khas aktivis PH Gombak bersama pimpinan PH peringkat nasional di Pusat Khidmat Peduli Masyarakat malam tadi.

Bagaimanapun, Khalid mendakwa tiada pemimpin PH yang menerima tawaran tersebut sehinggalah kerajaan baharu itu menggunakan taktik licik mengarahkan isteri masing-masing untuk merayu supaya mereka menerima tawaran berkenaan.
“Mereka lobi melalui isteri, cuba yakinkan dan pujuk suami anda (untuk sertai Kabinet Muhyiddin), terimalah jawatan,” katanya.
Awal hari ini, Anwar mendedahkan beliau ditawarkan jawatan Perdana Menteri jika bersetuju menerima UMNO secara en blok.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata demikian menjawab laporan media tentang kenyataan Ahli Parlimen Titiwangsa yang mendedahkan tawaran tersebut dibuat sebelum krisis politik bermula minggu lalu.
Tawaran itu bagaimanapun ditolak Anwar.
Dalam pada itu, Khalid berkata pihaknya tidak menjangkakan langkah yang dibuat oleh pasukan Muhyiddin.
“Apa yang telah berlaku adalah Muhyiddin telah khianati bersama sokongan Azmin di mana benda ini kita pun tidak tahu.
“Tun Dr Mahathir sendiri pun tidak tahu, sebijak-bijak Tun sudah berpuluh-puluh tahun berpolitik, dia pun tidak boleh baca,” katanya lagi.
Minggu lalu, kerajaan PH yang hanya berusia 22 bulan tumbang apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kelapan selepas mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (BN), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Bersatu dan beberapa bekas Ahli Parlimen PKR. -MG