*JAWAPAN TUDUHAN ZF ZAMIR, BEKAS S/U AKHBAR MENTERI PENDIDIKAN*



*Kenyataan Media Hafiz Noor Shams, bekas Pegawai Khas kepada mantan Menteri Kewangan dan Thulsi Manogaran, bekas Setiausaha Sulit kepada mantan Timbalan Menteri Pendidikan*

Kami ingin merujuk kepada tulisan Zul Fikri Zamir (ZF Zamir), iaitu seorang bekas Setiausaha Akhbar kepada mantan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang melontarkan pelbagai tuduhan palsu terhadap kepimpinan Kementerian Kewangan (MoF) di bawah pentadbiran DAP dan Pakatan Harapan.

*Peruntukan, perbelanjaan dan penjimatan di Kementerian Pendidikan*

ZF Zamir telah memetik contoh di mana bajet Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) dan Perkhidmatan Kebersihan Bangunan & Keselamatan (KBK) telah dikurangkan sebanyak 10% kepada RM 427.3 juta.

Akan tetapi, ZF Zamir sengaja tidak menyebut tentang hasrat MoF supaya segala jawatan pekerja keselamatan dilantik secara langsung oleh pihak sekolah atau PIBG, dan bukannya melalui pihak ketiga. 

Dia juga gagal menerangkan bahawa yang mungkin mengalami pengurangan pendapatan adalah syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan dan pihak ketiga yang sebelum ini mendapat keuntungan lumayan.

ZF Zamir perlu memahami bahawa sebarang jumlah penjimatan yang dibuat telah diperuntukkan semula kepada Kementerian Pendidikan, demi melaksanakan program-program yang mempertingkatkan lagi mutu pendidikan di negara dengan lebih berkesan. 

Ini dapat dibuktikan apabila peruntukan keseluruhan Kementerian Pendidikan meningkat melebihi 7% dari RM 59.8 bilion pada 2018 kepada RM 64.1 bilion pada tahun 2020. 

Malah, peruntukan pembangunan Kementerian Pendidikan telah meningkat hampir 22% dari RM 4.0 bilion pada tahun 2018 kepada RM 4.9 bilion pada tahun 2020. 

Angka-angka ini terkandung dalam buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2020 yang boleh dimuat turun oleh orang ramai daripada laman sesawang MoF. 

Jumlah peningkatan peruntukan bersih Kementerian Pendidikan sejumlah lebih RM 4 bilion ini adalah jauh lebih besar daripada pengurangan kasar yang menyebabkan ZF Zamir berasa tidak puas hati.

*Keputusan bersama Jemaah Menteri*

Proses penjimatan dan rasionalisasi yang dijalankan Kerajaan PH bukan satu tindakan melulu yang dibuat oleh Menteri Kewangan seperti yang diceritakan oleh ZF Zamir. 

Sebaliknya, ia merupakan hajat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta keputusan bersama Jemaah Menteri untuk mengurangkan pembaziran, meningkatkan keberkesanan perbelanjaan dan mengawal pertambahan hutang dan liabiliti kerajaan yang telah mencecah RM 1 trilion.

*Peruntukan sekolah agama*

ZF Zamir mempertikaikan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Tetapi, ZF Zamir tidak bersuara tentang peruntukan baharu yang disalurkan Kerajaan PH kepada sekolah agama bantuan kerajaan (RM 50 juta), sekolah tahfiz (RM 50 juta), sekolah agama rakyat (RM 25 juta), sekolah pondok (RM 25 juta), sekolah berasrama penuh (RM 50 juta) dan lain-lain.

Yang pentingnya, kita seharusnya membantu semua anak muda Malaysia untuk mendapat pendidikan tanpa diskriminasi. Itu adalah tanggungjawab utama kerajaan. 

*Institut Terjemahan Buku Malaysia dan PADU* 

ZF Zamir menyalahkan MoF tentang pelbagai langkah-langkah yang dibuat oleh pihak lain. 

Sebenarnya, usaha rasionalisasi seperti ke atas Institut Terjemahan Buku Malaysia dan PADU dicadangkan oleh sebuah jawatankuasa di bawah penyeliaan mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN). 

Rasionalisasi tersebut melibatkan semua agensi kerajaan bagi memastikan tiada pertindihan fungsi, sambil mengoptimumkan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan.

*SMJK Heng Ee 2* 

Penubuhan SMJK Heng Ee 2 adalah diluluskan oleh Perdana Menteri semasa beliau memangku jawatan Menteri Pendidikan. Perkara ini bukanlah suatu isu kerana kerajaan BN pun telah meluluskan penubuhan beberapa SMJK sebelum ini.

Tuduhan ZF Zamir bahawa Sekolah Jenis Kebangsaan Cina boleh dibuka sesuka hati “tanpa memerlukan bacaan semula Perlembagaan” adalah tidak berasas. 

Faktanya adalah sebegini: di bawah Akta Pendidikan, hanya Menteri Pendidikan yang berkuasa untuk menubuh sesebuah sekolah. Akta tersebut boleh dibaca oleh orang ramai, termasuk ZF Zamir.

*Permohonan daripada Timbalan Menteri*

ZF Zamir menuduh bahawa Timbalan Menteri Pendidikan telah membuat permohonan kepada Pejabat Menteri Kewangan tanpa pengetahuan Menteri Pendidikan. Ini tidak benar. Malah, mantan Menteri Kewangan tidak pernah meluluskan peruntukan terus kepada mantan Timbalan Menteri Pendidikan. 

Apa yang diluluskan adalah peruntukan kepada sekolah, agensi di bawah Kementerian Pendidikan atau Kementerian Pendidikan sendiri. Terdapat dua contoh permohonan:

a) mantan Timbalan Menteri Pendidikan pernah memohon RM 15 juta diberikan sebagai bantuan yuran bagi golongan B40 yang menghantar anak mereka ke tadika swasta. Permohonan ini diluluskan dan peruntukan disalurkan kepada Kementerian Pendidikan.

b) mantan Timbalan Menteri Pendidikan pernah menulis sepucuk surat rayuan kepada MoF supaya cukai taksiran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak RM 47 juta dikecualikan. 

Segala surat mantan Timbalan Menteri Pendidikan yang ditujukan kepada MoF sentiasa disalinkan kepada Menteri Pendidikan dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan. Oleh itu, segala perkara adalah dalam pengetahuan Menteri Pendidikan dan KSU Kementerian pada ketika itu.

Akhir kata, Zamir seharusnya berhati-hati dalam membuat pelbagai tuduhan tanpa usul-periksa, terutamanya apabila ia mampu mengapi-apikan sentimen perkauman.

04 Mac 2020, 
Kuala Lumpur

No comments: