SIAPA PILIHAN MUHYIDDIN SEBAGAI TPM



Kalau bukan Zahid Hamidi, siapakah sebenarnya yang lebih diingini oleh Muhyiddin Yassin untuk dilantiknya sebagai TPM?
Beberapa pihak yang dekat dengan Perdana Menteri pintu belakang itu mengakui, Zahid Hamidi bukanlah pilihan utama Muhyiddin berikutan Presiden UMNO itu sedang berdepan perbicaraan kes rasuah dan pecah amanahnya di mahkamah.
Kata mereka, pilihan teratas Muhyiddin untuk mengisi jawatan TPM ketika ini ialah Azmin Ali, bekas Timbalan Presiden PKR yang kini telah menyertai Bersatu.
Muhyiddin dikatakan lebih cenderung memilih Azmin mengisi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu kerana berasakan bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu telah memainkan peranan besar menjadikannya Perdana Menteri.
Tanpa gerakan yang dilakukan oleh Azmin, Muhyiddin percaya beliau tidak mungkin mampu muncul secara tiba-tiba mengenepikan Tun Mahathir dan seterusnya berada di puncak kuasa.
Oleh yang demikian, sebagai membalas budi Azmin itu, melantiknya sebagai TPM dianggap sesuatu yang wajar dan munasabah bagi Muhyiddin, walaupun kelompok bekas pemimpin PKR yang mampu dibawanya untuk menyokong Perikatan Nasional atau PN hanya 10 orang Ahli Parlimen saja berbanding UMNO/BN sebanyak 41.
Meskipun melantik Azmin memungkinkan beliau berdepan risiko pertikaian rakyat terhadap kepimpinannya berikutan bekas Timbalan Presiden PKR itu terkait secara langsung dengan kes “video Haziq” yang masih menjadi bualan ramai, Muhyiddin dikatakan berpendapat, perkara itu masih boleh ditanganinya berbanding kes Zahid Hamidi yang sudah pun dibawa ke mahkamah.
Walaupun demikian, melantik Azmin yang merupakan pemimpin daripada Bersatu sepertinya juga sebagai TPM akan menjadikan pemimpin nombor satu dan dua dalam kerajaan datang daripada parti yang sama serta seolah-olah terang-terang mengenepikan UMNO yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai dalam PN.
Dalam hal ini, mahu tidak mahu, Muhyiddin akan dilihat sebagai seorang yang tamak serta tidak menghargai kedudukan UMNO dalam kerajaan yang diterajuinya.
Untuk itu, jika bukan Azmin, pilihan kedua yang lebih cenderung diambil oleh Muhyiddin mengisi jawatan TPM ialah Hishammuddin Hussein.
Lagi pula, kumpulan 13 bekas Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai Bersatu difahamkan memang melobi agar bekas Naib Presiden UMNO itu dilantik sebagai TPM.
Sebagaimana bukan rahsia lagi, kemasukan 13 Ahli Parlimen tersebut ke dalam Bersatu sebelum ini, selain pembubaran UMNO Sabah, juga untuk menyertai Bersatu, ia difahamkan adalah melalui peranan belakang tabir yang dimainkan oleh Hishammuddin.
Dengan itu, melalui sedikit sebanyak jasanya kepada Bersatu itu, di samping tiada kes mahkamah yang dihadapinya, Muhyiddin dikatakan lebih cenderung melantik Hishammuddin berbanding Zahid Hamidi.
Cuma, masalah Hishammuddin ialah beliau bukan daripada hireaki UMNO serta merupakan pemimpin Johor juga seperti Muhyiddin dan perlantikannya sebagai TPM sudah pasti akan membuatkan Zahid Hamidi lebih tidak senang hati dibuatnya.
UMNO sendiri akan merasakan perlantikan Hishammuddin itu akan menampakkan Muhyiddin tidak menghormati kedudukan Zahid Hamidi dan seperti dalam masa yang sama menyediakan laluan untuk “membunuh” karier Presiden UMNO itu dalam pemilihan tahun 2021 akan datang.
Akhirnya, siapakah pilihan Muhyiddin untuk berganding dengannya mentadbir negara ini?
Kalau bukan Zahid Hamidi, Azmin atau Hishammuddin, apakah calon neutral lain dan yang di luar radar kita semua bakal jadi pertimbangan Muhyiddin? (ShahbudinHusin 05/03/2020)
Kongsikan artikel ini

No comments: