Anwar PM – 8 hanya pada 2021?
Sehingga hari ini tiada petunjuk jelas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil-alih jawatan Perdana Menteri pada bulan Mei 2020 sebagaimana yang dikehendaki para penyokong Reformasi.
Tinjauan Suara Pakatan Daily, daripada 30 orang yang ditemu-bual kesemuanya menjawab peluang Anwar nampaknya lebih cerah pada awal tahun hadapan kerana Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya akan bersara selepas APEC (Asian-Pacific Economic Congress), November 2020 nanti.
Menurut seorang pemandu teksi di Kepong Baru, Johnson Abraham, 58 tahun, pemimpin Pakatan Harapan (PH) sepatutnya telah pun membawa isu peralihan kuasa seawal Januari 2020 jika mahu melihat Anwar menjadi PM pada Mei.
“Namun pada masa ini saya tengok YB-YB PH sudah tidak menekankan topik peralihan kuasa. Sebaliknya mereka amat selesa dengan status serta kedudukan masing-masing. Seolah-olah mereka rasa tidak perlu mengugat kedudukan dengan membangkitkan isu ‘remeh’ itu.
“Saya rasa amat kecewa dengan pendirian YB-YB PH yang tidak menyuarakan pendapat penyokong-penyokong di bawah yang mahukan isu peralihan kuasa dilaksanakan secepat mungkin.
“Bilakah mesyuarat Majlis Tertinggi PH akan diadakan untuk menetapkan tarikh peralihan?” tanyanya.
Johnson menyarankan agar para penyokong PH lebih tegas bersuara untuk menekankan semua parti-parti dalam PH bahawa isu peralihan kuasa diputuskan segera.
Bagi pemilik kedai menjual paip dan barangan logam di Kuala Lumpur yang mahu dikenali sebagai Lee, situasi kekaburan kepimpinan menghampakan beliau.
Lebih-lebih lagi ekonomi turut menjadi tidak menentu. Katanya penurunan kadar faedah untuk Simpanan Tetap yang diumumkan pada 22 Januari lalu meresahkan peniaga terutama kaum Cina yang banyak menyimpan dalam akaun berkenaan.
“Apa sudah berlaku kepada Kerajaan PH? Sejak mengambil-alih pada Mei 2018, kadar faedah Simpanan Tetap telah diturunkan dari 3.25% kepada 3% mulai Mei tahun lalu dan sekarang ini diturunkan lagi dari 3% kepada 2.75%.
“Memang teruk kalau urus-tadbir dijalankan tanpa halatuju seperti ini. Sudah tiba masanya Anwar Ibrahim mengambil-alih sebagai Perdana Menteri. Masa Anwar menjadi Menteri Kewangan dulu, kadar faedah tinggi dan urus-tadbir ekonomi pun dinamik,” kata Uncle Lee.