'Saya tak iktiraf kewujudan mana-mana kem dalam PKR'- Anwar

Anwar pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional PKR 2019 di sini hari ini.
A
A

MELAKA TENGAH - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan parti meraikan perbezaan pendapat namun tidak mengiktiraf kewujudan mana-mana kem.
Menurutnya, beliau tiada masalah sekiranya kepimpinan utama parti berbeza pendapat namun harus bersatu hati dalam perjuangan parti itu.
“Saya tidak iktiraf kepada (kewujudan) mana-mana kem. Ada perbezaan pendapat tidak ada salah tapi mesti bersatu. Sebelum ini saya ambil pendekatan yang sangat lembut, saya tidak kisah.
"Tapi saya ingat dalam kongres ini dan mesej yang kongres ini mahu supaya kita balik kepada landasan asal dan tekankan kepada isu sejagat," katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan dasar di Kongres Nasional PKR 2019 di sini hari ini.
Sebelum ini, PKR dilihat seolah-olah mempunyai dua kem iaitu pihak menyokong Anwar sebagai Presiden dan kem yang menyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai gesaan perwakilan Sabah, Mohammad Razeff Rakimin mahu Azmin mengisytiharkan secara terbuka menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan, Anwar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Tidak pasti, saya bukan jurucakap dia,” katanya ringkas.
Semalam, dalam usul membahaskan Ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohammad Razeff mencabar Azmin agar berbuat demikian kepada semua perwakilan di kongres AMK semalam.

No comments: