Tarik balik kemudahan Ahli Parlimen gagal isytihar harta - Mahfuz

Tarik balik kemudahan Ahli Parlimen gagal isytihar harta - Mahfuz



Mahfuz berkata ia termasuklah peruntukan pembangunan yang diberikan kepada ahli parlimen sama ada daripada kerajaan ataupun pembangkang. - Gambar fail








SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar pada Jumaat mencadangkan satu peruntukan baharu dalam undang-undang agar kemudahan yang disediakan kepada ahli Parlimen, kecuali elaun, ditarik balik sekiranya mereka gagal mengisytiharkan harta.

Beliau, yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, ia termasuklah peruntukan pembangunan yang diberikan kepada ahli Parlimen sama ada daripada kerajaan ataupun pembangkang.
"Sebaliknya (peruntukan pembangunan) diberikan melalui saluran lain untuk terus membangunkan kawasan yang mereka wakili kerana mereka sudah tidak mempunyai amanah dan integriti kerana gagal isytihar harta," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) di sini, pada Jumaat.

Pada Khamis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, semua 139 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) telah mengemukakan borang akuan pengisytiharan harta kepada Dewan Rakyat setelah tempoh berbuat demikian berakhir Khamis.
Mereka antara 160 ahli Parlimen yang telah menyerahkan borang akuan itu selain Barisan Nasional (BN) seramai tiga orang, Gabungan Parti Sarawak (GPS) (14); Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) masing-masing satu.

Sementara itu, seramai 62 ahli Parlimen lagi belum berbuat demikian iaitu BN 38 orang, PAS (18), GPS (tiga), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (satu) dan bebas dua.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata antara kemudahan lain beliau fikirkan tidak layak dinikmati ahli Parlimen yang gagal mengisytiharkan harta ialah seperti rawatan hospital dan permit import (AP) kereta.

Ditanya sama ada beliau akan membawa perkara itu sebagai Rang Undang-undang Ahli Persendirian, Mahfuz berkata adalah terserah kepada bidang kuasa Parlimen dan menteri yang bertanggungjawab serta speaker Dewan Rakyat untuk membuat cadangan itu kepada kerajaan.

"Saya tidak bawa itu, terserah kepada pihak Parlimen, menteri yang bertanggungjawab untuk jaga Parlimen dan speaker untuk membuat cadangan kepada kerajaan.

"Tapi kalau peruntukan pembangunan saya fikir ini tidak perlu pindaan, sebab peruntukan ini dibuat di bawah bidang kuasa Perdana Menteri dan Perdana Menteri boleh tarik balik peruntukan yang boleh diberikan kepada MP (ahli parlimen) yang gagal isytihar harta," katanya.

-- BERNAMA

No comments: