Sarapan pagi percuma fasa I peruntukan RM22 j
Seramai 37,000 murid dan 1,600 guru bakal mendapat manfaat dari fasa pertama Program Sarapan Pagi (PSP) yang bakal diperkenal kerajaan tahun depan.
Menurut Kementerian pelajaran Malaysia (KPM) program fasa pertama itu yang akan dilaksana mulai 20 Jan 2020 akan melibatkan 100 sekolah rendah di seluruh negara dengan kos pelaksanaan dianggarkan RM22 juta.
“Waktu pelaksanaan PSP adalah antara pukul tujuh hingga 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan satu hingga empat petang bagi persekolahan sesi petang mengikut ketetapan pengurusan sekolah,” katanya KPM dalam kenyataan.
Pemilihan sekolah bagi fasa pertama dibuat berdasarkan kepada sekolah yang mempunyai peratus murid golongan B40 yang tertinggi dan turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil
Difahamkan, fasa pertama akan menggunakan menu berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwich, buah-buahan atau telur rebus.
KPM berkata PSP di sekolah rendah merupakan inisiatif terbaru untuk menyediakan makanan yang berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang bagi memastikan murid mengamalkan pengambilan sarapan, gaya hidup sihat serta merangsang proses tumbesaran mereka.
Kementerian juga merancang supaya program itu diperluaskan kepada semua 7,776 sekolah rendah dan dapat memberi manfaat kepada kira-kira 2.7 juta murid di seluruh negara.
Bagaimanapun, katanya ia bergantung kepada peruntukan yang diterima dan kesediaan pihak kantin dan sekolah.