15 MEI 2020, TARIKH PALING SESUAI UNTUK TUN M SERAH JAWATAN KEPADA ANWAR


Bilakah tarikh paling sesuai untuk Anwar Ibrahim jadi PM?

Memandangkan isu penyerahan jawatan daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar terus berlarutan dan tiada kesudahannya, semakin ramai kini merasakan amat wajar Majlis Presiden PH menetapkan suatu tarikh yang tetap mengenainya.

Dirasakan, selagi tidak ditetapkan tarikh yang khusus, bukan saja ketidaktentuan akan berlanjutan, tetapi selagi itulah juga Tun Mahathir akan terus bercakap berubah-ubah macam sesumpah.

Daripada dua tahun, kemudian dua setengah tahun, seterusnya sehingga ekonomi pulih dan terbaru mahu tiga tahun pula.

Tidak mustahil selepas ini, seperti tidak sedar usianya sudah 94 tahun, beliau akan berubah nada lagi, tambahan jika dikelilingi golongan cari makan dan pengampu di kiri kanannya.

Walaupun diakui tiada tarikh khusus berkenaan penyerahan kuasa itu dalam perjanjian yang dimetrai bersama PH, harus disedari bahawa tempoh dua tahun itu mula-mula disebut oleh Tun Mahathir sendiri.

Katanya, oleh kerana beliau pernah ada pengalaman sebagai PM sebelum ini, tempoh dua tahun memegang jawatan itu buat kali kedua adalah mencukupi untuk tugas memulihkan ekonomi dan memperbaiki kerosakan dalam negara sebelum menyerahkan kepada Anwar untuk menggantikannya.

Disebabkan berpegang kepada janji Tun Mahathir itulah Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudiannya menolak tawaran Yang Dipertuan Agong untuk dilantik sebagai PM, meskipun PKR memenangi jumlah kerusi terbanyak dalam PRU14 lalu iaitu 47  kerusi Parlimen berbanding Bersatu yang hanya menang sebanyak 13 kerusi  saja.

Untuk rekod, dalam PRU14 lalu, Bersatu telah diperuntukkan 52 kerusi berbanding PKR sebanyak 51 kerusi Parlimen.

Kalau Dr. Wan Azizah boleh berpegang kepada janji, apa sebenarnya masalah Tun Mahathir yang sudah berusia 94 tahun, tetapi begitu liat dan berbelit-belit untuk patuh kepada janji?

Jika ikut logik, disebabkan tiada tempoh masa tertentu ditetapkan untuk penyerahan jawatan PM itu, bukan  saja Tun Mahathir yang boleh mempermain-mainkan atau melewatkan tarikh penyerahan, bahkan tidak menjadi kesalahan juga bagi pihak Anwar menuntut agar ia dipercepatkan.

Ditambah lagi,  selain kerana PKR memiliki jumlah kerusi terbanyak, prestasi Tun Mahathir sendiri dilihat gagal membawa apa-apa perubahan dalam negara sejak 16 bulan beliau menerajui negara ini.

Tun Mahathir bukan saja gagal memulihkan ekonomi sehingga pengundi bukan Melayu, jika kita rajin berbual-bual dengan mereka, ramai antaranya turut mahukan beliau berundur kerana perniagaan masih tidak berkembang dan merasakan peluang mesti diberi kepada Anwar menawarkan sesuatu yang baru kepada rakyat.

Tidak cukup dengan itu, janji reformasi dalam urus tadbir negara yang dipersetujui Tun Mahathir sebelum memegang kuasa juga gagal dilaksanakannya sehingga semakin lantang kedengaran menggelar beliau sebagai reformis palsu.

Tanggapan mereka, oleh kerana Tun Mahathir sudah terbukti gagal, memberinya lebih masa lagi memegang kuasa bersama usianya yang semakin tua, hanya akan menjadikan rakyat lebih derita dan sengsara.

Terlanjur pengganti pun sudah disediakan, mengapa harus ditunggu lebih lama lagi?

Maka itu, apakah tarikh yang sesuai sebenarnya untuk Tun Mahathir berundur bagi membolehkan Anwar mengambil alih teraju pentadbiran negara?

Jika ikut janji mulut Tun Mahathir sendiri iaitu dua tahun, tarikh penyerahan jawatan kepada Anwar sepatutnya ialah pada 10 Mei 2020.

Tetapi, kalau berdasarkan gagalnya beliau mentadbir negara, sebaliknya yang bertambah hanya kekalutan demi kekalutan dalam pelbagai isu, selain rakyat derita dan sengsara, seharusnya sekarang juga peralihan itu patut dilaksanakan.

Namun, demi masih menghormati beliau sebagai orang tua dan negarawan yang ada juga jasanya sebelum ini, jalan tengah paling mudah ialah mengambil kata janji Tun Mahathir sendiri sebagai pegangan dalam soal peralihan kuasa ini.

Tarikh itu ialah muktamad dua tahun sebagaimana janji Tun Mahathir sendiri tanpa ruang untuk dipercepatkan atau dilewatkan.

Dua tahun daripada 10 Mei 1998 ketika mengangkat sumpah ialah 10 Mei 2020.

Disebabkan 10 Mei 2020 itu jatuh pada hari Ahad, demi timbangrasa kepada seseorang yang sudah lanjut usia, barangkali tiada salahnya diberi “masa kecederaan” tambahan selama lima hari sehingga 15 Mei 2020 kepada beliau untuk melakukan penyerahan jawatan kepada Anwar.

15 Mei 2020, bersamaan hari Jumaat adalah paling sesuai untuk Tun Mahathir berundur dan mudah-mudahan ada berkat juga untuk Anwar memulakan tugasnya  sebagai PM yang baru pada hari mulia itu. (Shahbudindotcom 02/10/2019)


No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

VIDEO : Henti politik jahat!, Darurat gagal kawal Covid-19, Siasat bawah jenayah...