SEMUA AKAN TEMPIAS JIKA MAHATHIR TIDAK TUNAIKAN JANJI


PETALING JAYA: Kumpulan pro-Anwar mengingatkan Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad bahawa semua pemimpin bawahnya tidak akan dipercayai rakyat lagi jika beliau tidak tepati janji peralihan kuasa yang diuar-uarkan sebelum ini.
Otai Reformis 1998 mengulas kenyataan Mahathir mengatakan dia mungkin ada tiga tahun lagi sebelum menyerahkan jawatan perdana menteri sebelum pilihan raya umum ke-15, mengatakan pimpinan komponen bersetuju Anwar akan mengambil alih tempatnya dalam tempoh dua tahun.
“Sekiranya janji Mahathir ini tidak ditepati maka kita yakin rakyat teramai akan hilang keyakinan bukan sahaja terhadap tahap kebolehpercayaan mereka kepada kata-kata dan janji-janji Mahathir, tetapi mereka juga hilang kepercayaan terhadap kewibawaan pemimpin PH secara keseluruhannya,” kata Pengerusi Idris Ahmad dalam kenyataan.
Kumpulan itu juga menolak alasan jawatan itu akan diserahkan sebaik negara pulih daripada beban hutang, mengatakan ketidakpastian sekitar isu peralihan kuasa menyebabkan pelabur asing rasa was-was.
“Selagi Mahathir tidak mengotakan janjinya untuk melepaskan jawatan kepada Anwar, kita khuatir ekonomi kita akan berada dalam keadaan tidak menentu ekoran pelabur asing merasa was-was terhadap senario yang tidak kondusif ini,” katanya.
Peringatan daripada kumpulan pro-Anwar itu menyusuli kritikan pengasas PKR, Syed Husin Ali terhadap isu peralihan kuasa baru-baru ini.
Ahli politik veteran itu secara terbuka mengatakan dia tidak boleh pegang kata-kata Mahathir kerana beliau memberikan jawapan yang berlainan apabila bercakap mengenai hal itu.
Mahathir berkata dia mungkin ada tiga tahun lagi pada satu dialog di New York, Amerika Syarikat pada 24 Sept lepas.
PRU-15 dijadualkan berlangsung pada 2023.
Mahathir yang dilantik menjadi perdana menteri selepas Pakatan Harapan menang PRU-14 pada Mei tahun lepas berkata dia akan berundur selepas dua tahun.
Bawah perjanjian antara parti komponen PH, Mahathir perlu menyerahkan kuasa kepada Anwar, pilihan pertama sebahagian besar parti komponen, tetapi tiada tarikh ditetapkan.

No comments: