Najib kritik PH tapi tak pernah umum harga tanah Kg Bharu
Kenyataan Najib Razak yang mendakwa pentadbirannya tidak pernah menawarkan harga bagi pembelian tanah di Kampung Baru dianggap sebagai membuka pekung sendiri.
Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, jika dakwaan Najib itu benar, ia hanya membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diketuainya menganggap pembangunan penempatan Melayu di Kuala Lumpur itu sebagai tidak penting.
“Saya tertarik dengan kenyataan Najib. Mereka (kerajaan BN) letak sampai enam penilai tapi apa nilai (harga tanah) tak tahu, buang masa sajalah macam itu,” katanya pada satu program di Pusat Transit Gelandangan di Titiwangsa.
Khalid sebelumnya mengulas status dimuat naik Najib ke laman sosial yang menyentuh isu pengambil alihan tanah Kampung Baru.
Susulan itu, Khalid mempersoalkan keperluan melantik enam syarikat perunding seperti didakwa Najib, namun gagal memberikan tawaran harga kepada pemilik tanah Kampung Baru
“Najib jadi perdana menteri bukan sembilan minggu tapi sembilan tahun tapi sepanjang tempoh itu kerajaan tidak pernah membuat apa-apa tawaran dan nilainya juga tiada.
“(Sedangkan) saya dalam tempoh setahun dah ada membuat tawaran, Najib sembilan tahun jadi perdana menteri takkan tak boleh buat apa-apa tawaran?
“Takkan dalam tempoh itu syarikat penilai yang dilantik itu tidak boleh meletakkan harga tanah yang akan dijual,” soalnya.
Sementara itu, ketika mengulas rungutan sesetengah pemilik tanah yang mahu kerajaan mengkaji semula kadar harga ditawarkan kerajaan berkata, perkara mengenainya bakal dibicangkan dalam mesyuarat kabinet yang akan diadakan Rabu ini. Isu tersebut jelasnya akan dibangkitkan kepada perdana menteri.
“Memang semua nak harga lebih tinggi dari ditawarkan. Jika tawarkan RM1,000 (satu kaki persegi) pun akan ada yang minta lebih dari kadar itu.
“Apa yang perlu dilakukan adalah mencari harga yang munasabah dengan memungkinkan projek ini menjadi kenyataan. Kita kena ingat akhirnya projek ini akan dijual kepada orang Melayu.
“Disebabkan itu, kita tak boleh jual beli dengan harga mahal,” katanya.
Sabtu lalu, pada sesi Town Hall Pembangunan Kampung Baru, Khalid mengumumkan kerajaan menawarkan RM850 bagi satu kaki persegi kepada pemilik tanah iaitu harga paling maksimum ditetapkan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta. – RF8 Media