KENAPA LEBIH 3 BULAN KHIDMAT PAKAR BARU DICARI



Ini adalah kenyataan terkini Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berhubung status siasatan berkenaan video seks sejenis yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali.
Beliau berkata, polis sedang mendapatkan khidmat pakar untuk menganalisis kandungan video seks tersebut.
“Arahan sudah dikeluarkan, kami sedang dapatkan khidmat pakar untuk menganalisis kandungan video itu.
“Untuk jalankan siasatan dalam kes sebegitu tinggi sudut teknikal bukan senang, sebagai Ketua Polis Negara, saya tidak ada kepakaran itu,” katanya lagi.
Seterusnya, Abdul Hamid menegaskan, “hanya selepas itu kami akan bawanya ke mahkamah dan kemuka semua bukti yang kami ada”.
Setelah berlarutan lebih tiga bulan tanpa ada sebarang keputusan dan rakyat terus tertanya-tanya, sekali lagi berdasarkan kenyataan Abdul Hamid ini, hakikat paling mudah untuk difahami ialah siasatan masih memerlukan lebih masa untuk disiapkan.
Tetapi, yang menimbulkan persoalan, mengapa hanya setelah lebih tiga bulan berlalu, baru mahu mendapatkan khidmat pakar?
Kenapa khidmat pakar tidak dicari sejak awal lagi?
Berapa lama pula usaha untuk mencari dan mengenalpasti pakar itu?
Apakah mungkin tempoh tiga bulan juga diperlukan untuk tujuan itu?
Setelah pakar diperolehi, berapa bulan lagi diperlukan untuk pakar tersebut menjalankan kerjanya dan menghantar laporan kepada polis?
Setelah laporan diperolehi, berapa lama lagi sebelum ia dapat diumumkan?
Akhirnya, bolehkah kita meletak harapan menjelang pertengahan tahun 2020 akan datang di mana ketika itu penyerahan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim sepatutnya sudah berlaku, siasatan kes video seks ini sudah ada keputusannya? (Shahbudindotcom 25/09/2019)