ELOK MASUK POLITIK DARI HANYA PANDAI KRITIK.



Dari semasa ke semasa, semakin dekat janji peralihan kuasa menemui titik kenyataan, ternampak semakin ramai yang mahu Tun Mahathir Mohamad memungkiri janji penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim.
Terbaru, walaupun tidak menyebut dan hanya ditulis secara umum, tetapi tidaklah sukar untuk memahami bahawa surat terbuka Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin juga mempunyai maksud yang sama.
Meskipun beliau mengatakan tulisannya adalah bersifat umum dan tidak ditujukan kepada sesiapa, namun berdasarkan konsensus penyerahan jawatan kepada Anwar sudah pun ada sebelum PRU14 lagi, maka apabila memperkatakan tentang peralihan kuasa yang sudah ada persetujuan itu, tentulah ia ditujukan kepada Anwar.
Jika tidak ada konsensus penyerahan jawatan secara khusus kepada Anwar, rasanya tidak mungkin Dr Asri ada idea untuk menulis surat terbuka ini kepada Perdana Menteri.
Mufti Perlis seolah-olah cuba menasihatkan Tun Mahathir agar lebih memikirkan redha serta murka Allah daripada menunaikan janji kepada Anwar yang disifatkannya sebagai rakus, tamak kuasa dan sebagainya.
Soalnya, daripada kasyaf mana dan daripada penilaian kaca mata apa beliau melihat Anwar sebagai seorang yang rakus dan tamak kuasa?
Apakah beliau benar-benar yakin bahawa jika Anwar menjadi pengganti Tun Mahathir, keadaan negara akan menjadi lebih buruk daripada sekarang?
Ataukah tulisan beliau atas nama mufti itu sekadar membawa mesej Shahidan Kassim, Pengerusi Perhubingan UMNO Perlis yang difahami mahu PH berbalah dan dengan demikian akan memudahkan BN merampas semula kuasa dalam PRU15 akan datang?
Dalam erti kata yang mudah juga, Dr Asri, sebagaimana ramai yang lain yang sebelum ini menolak penyerahan jawatan kepada Anwar, mereka dengan jelas cuba menghasut Tun Mahathir agar memungkiri janji yang telah dipersetujui dalam PH.
Kalau orang politik menghasut orang politik untuk mungkir janji, mungkin boleh difahami maksud dan tujuannya.
Tetapi, apa untungnya seorang mufti dengan jubah dan kopiah juga turut melakukan kerja-kerja menghasut ini?
Apakah mereka sanggup menanggung dosa Tun Mahathir jika akhirnya pemungkiran janji itu benar-benar berlaku?
Dalam janji politik, jika mahu, Dr Wan Azizah Wan Ismail pun boleh mungkir janji apabila beliau ditawarkan oleh Yang Dipertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana sebaik kemenangan PH pada 9 Mei 2018 lalu.
Meskipun PKR memiliki kerusi Parlimen majoriti dalam PH, namun oleh kerana berpegang kepada janji konsensus bahawa Tun Mahathir adalah calon Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah tanpa ragu-ragu memilih untuk akur dengannya dan menolak permintaan Agong itu.
Hendaklah difahami, selain janji Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri dan Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri, kedudukan Anwar sebagai bakal Perrdana Menteri ke-8 juga adalah janji dan muafakat yang dipersetujui oleh PH, bukannya janji Tun Mahathir seorang diri.
Kenapa jika Dr Wan Azizah boleh patuh kepada janji PH, ada pula yang gatal tangan, termasuk Mufti Perlis sanggup menulis cuba menghasut Tun Mahathir menjadi pemungkir janji?
Adakah mereka ini mahu Tun Mahathir berkelahi sekali lagi dengan Anwar dan seterusnya mungkin mengkibatkan kematiannya berakhir dengan kehinaan?
Selain itu, jika mereka mahu Tun Mahathir mungkir janji kepada Anwar, mereka mahu siapa sebenarnya sebagai Perdana Menteri ke-8.
Azmin Ali?
Mukhriz Mahathir?
Muhyiddin Yassin?
Kalau betul-betul ikhlas, beranikanlah diri menyebut nama yang dirasakan lebih layak daripada Anwar itu!!! (Shahbudindotcom 26/09/2019)


No comments: