Tarif kemiskinan perlu disemak semula – Anwar
Putrajaya wajar menetapkan semula aras pendapatan lebih tinggi dalam takrif kemiskinan di Malaysia.
Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendapatan golongan pekerja, nelayan, petani dan peladang sekarang tidak meningkat sesuai dengan peningkatan ekonomi.
Justeru penarafan semula tarif itu penting bagi mendapatkan gambaran masalah kemiskinan yang tepat bagi membantu kerajaan merangka tindakan seterusnya untuk menangani isu kemiskinan.
“Peningkatan kos sara hidup bagi golongan umum – pendapatan itu lebih dari perbelanjaan tetapi bagi kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) pendapatan sekarang ini kurang daripada perbelanjaan,” katanya.
Anwar sebelumnya berucap di Seminar Ekonomi, Kemiskinan dan Kesenjangan di Malaysia: Takrifan dan Pelaksanaan dianjurkan kaukus itu di Parlimen semalam.
Tambah Anwar, kadar pendapatan tidak meningkat itu telah menyebabkan hutang terpaksa di pikul kumpulan B40 meningkat dan seterusnya menyebabkan kualiti hidup menurun.
“Kerana pendapatan tidak dapat dikejar, apa yang berlaku mereka kurangkan belanja untuk makanan di rumah – kualiti makanan turun.
“Pengangkutan turun, makan di luar turun, masa bercuti turun,” katanya .
Anwar berkata jika keadaan itu berterusan, kaukus bimbang kualiti kesihatan dan pendidikan bagi kumpulan B40 juga akan terkesan.
Beberapa pakar ekonomi terkenal antaranya Rajah Rasiah dari Asia Europe Institute Universiti Malaya (UM) dan Prof Jomo Kwame Sundaram dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran UM turut dijemput membentangkan dapatan mereka tentang realiti kemiskinan kepada ahli-ahli Parlimen dan pegawai kerajaan dalam memahami permasalahan terkait kemiskinan.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Berhubung Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia Prof Philip Alston pada Ogos lalu mendedahkan rialiti kemiskinan di Malaysia.
Laporan berkenaan mendakwa Malaysia mempunyai “kemiskinan yang ketara”, dan kadar kemiskinan sebenar adalah kira-kira 15 peratus berbanding 0.4 peratus yang dinyatakan kerajaan.
Anwar dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, pemimpin negara tidak boleh terus tidak mempedulikan realiti sebenar yang memberi kesan kepada rakyat terbanyak. – RF8 Media