Piagam Pas-Umno: Mungkinkah hudud ditinggalkan?
Ahli akar umbi Pas yang walak dengan perjuangan menegakkan hukum hudud mungkin kecewa sekiranya piagam yang akan dimeterai parti Islam itu bersama Umno pada 14 September ini tidak memperuntukkan undang-undang syariah berkenaan.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, andainya hudud dikesampingkan bukan sahaja ahli Pas malah rakyat secara umum akan menilai perjuangan parti itu tidak lagi mempunyai perbezaan daripada parti-parti orang Islam lain di Malaysia.
Menurutnya, jika Pas mengamalkan fiqh aulawiyat atau fiqh keutamaan melawan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya berbanding hudud maka parti Amanah dan Bersatu juga mempunyai perjuangan yang sama.
“Jika benar sekiranya tidak ada hudud, tidak ada negara Islam dalam piagam ini maka rakyat akan dapat melihat tidak ada bezanya Pas dengan parti politik lain.
“Penyokong Pas yang masih berpegang kepada hudud dan negara Islam ini akan kecewa. Kenapa tidak mengutamakan perjuangan Pas. Mana perjuangan negara Islam yang diperjuangkan Pas selama ini?” katanya dipetik Suara Keadilan.
Tanda tanya mengenai apakah hudud akan dimasukkan dalam piagam semakin melebar apabila tarikh menandatanganinya berubah-ubah. Tarikh asal dijadualkan selepas Hari Raya Aidilfitri, kemudian dianjak ke bulan Ogos dan seterusnya September.
Sebelum ini pula, tular kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang menegaskan hudud adalah undang-undang peringkat negeri dan tidak akan dimasukkan dalam manifesto kerjasama Pas – Umno pada pilihan raya umum (PRU) ke 15 kelak.
Dalam pada itu, Mazlan berpandangan sekiranya kerjasama Pas-Umno mengetengahkan hudud maka ia akan mencetuskan konflik dalam kalangan komponen bukan Islam BN yang sebelum itu secara terang terangan menentang hudud Pas.
“Kalau kita tengok, track record lepas, antara yang kuat menentang hudud ini adalah MCA dan Gerakan.
“Sekarang apabila Pas-Umno memeterai piagam yang mahu mendaulatkan Melayu dan Islam, sudah pasti mereka akan hilang sokongan daripada parti MCA dan MIC serta masyarakat bukan Islam,” tambahnya.
Hal itu katanya, bakal memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH) pada PRU 15 terutama di kawasan campuran dan Pantai Barat seperti Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Sebenarnya piagam Umno Pas ini hanya menguntungkan Umno-Pas sahaja, khususnya di kawasan orang Melayu. Namun di kawasan campuran dan Pantai Barat, gabungan ini tidak akan dapat mengganggu gugat PH,” jelasnya lagi. – RF8 Media