ZAKIR NAIK BOLEH MERANCANG MENCARI NEGARA YANG SUDI MENERIMANYA



Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan menarik balik status penduduk tetap (PR) Dr Zakir Naik sekiranya siasatan polis mendapati pendakwah kontroversi itu melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara.
“Kita (kerajaan) boleh tarik balik status penduduk tetapnya jika dia (Dr Zakir) melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara ini.
“Pada masa ini, polis sedang menyiasat (sama ada) dia melakukan kesalahan itu atau tidak.
“Sudah tentu, jika dia melakukan kesalahan, kita perlu menarik balik status penduduk tetapnya,” kata Tun Mahathir lagi.
Menurut Tun Mahathir, kerajaan juga akan mengambil tindakan menghalang Dr. Zakir daripada terus membuat ucapan yang provokatif yang dilihat cuba melaga-lagakan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Apakah maksud kenyataan Tun Mahathir ini?
Adakah kenyataan terbaru Tun Mahathir ini suatu bayangan bahwa status PR Dr. Zakir akan ditarik tidak lama lagi?
Rasanya kecenderungan Tun Mahathir memang ke arah itu sekarang ini.
Kenyataan beliau ini jelas berbeza dengan pendiriannya beberapa hari lalu yang bertegas menyatakan Dr Zakir tidak akan dihantar pulang ke negara asalnya, India.
Kata Tun Mahathir, jika dihantar pulang, pendakwah itu bukan saja tidak akan mendapat perbicaraan yang adil, malah mungkin akan terancam nyawanya.
“Kita dalam keadaan ditelan mati emak, diluah mati bapa, tapi kita tiada pilihan selain melindunginya,” tambah Tun Mahathir lagi.
Tetapi, dengan menunggu hasil siasatan polis terlebih dahulu sebelum statusnya PR Dr Zakir boleh dibatalkan, Tun Mahathir nampaknya sudah menyediakan perlindungan buat dirinya daripada kemungkinan kecaman ramai atas tindakan tersebut.
Ini bermakna, tindakan membatalkan PR itu sekiranya dilakukan, ia bukan kerana beliau akur atau tunduk kepada desakan menteri-menteri DAP yang mahukan beliau berbuat demikian, tetapi kerana hasil siasatan polis yang mendapati pendakwah itu telah melakukan sesuatu yang menjejaskan kesejahteraan negara.
Dengan itu, jika ada kecaman ramai terhadapnya, Tun Mahathir sedia dengan sandaran bahawa beliau lebih mengutamakan kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negara ini.
Dan sebagai ketua kerajaan, memang itulah yang sewajarnya menjadi keutamaan beliau sebagai Perdana Menteri.
Lebih-lebih lagi kerana polis terletak di bawah Kementerian Dalam Negeri yang menterinya ialah Muhyiddin Yassin, sekali lagi Tun Mahathir juga ada perlindungan lapisan kedua untuk dirinya dalam pembatalan status PR Dr Zakir itu.
Bererti, beliau dan kerajaan hanya bertindak membatalkan status PR Dr Zakir atas faktor keselamatan dan kesejahteraan rakyat setelah disiasat oleh pihak polis serta diperhalusi oleh Kementerian Dalam Negeri.
Dalam pada itu, dengan Dr Zakir sendiri sudah diambil keterangannya selama berjam-jam oleh polis Bukit Aman malam tadi, kebarangkaliannya ialah hasil siasatan polis itu akan diserahkan kepada kerajaan dalam waktu yang terdekat ini.
Yang pasti, dengan perkembangan terbaru ini, Dr Zakir bolehlah mula mencari mana-mana negara lain yang sedia menerimanya, jika beliau berkeras tidak mahu kembali ke India, negara kelahirannya untuk berdepan perbicaraan di sana.
Tempoh beliau dibenarkan berada di negara ini sudah semakin singkat sebenarnya. (Shahbudindotcom 16/08/2019)

No comments: