MASUK BERSATU PILIHAN TERBAIK UNTUK AZMIN?

Image result for azmin dan kartelnya


Dalam kemelut yang melanda hubungan Azmin Ali dengan Anwar Ibrahim sekarang dan meskipun kedua-duanya ada mengeluarkan kenyataan saling sedia bekerjasama, persoalan yang tidak kurang ditanyakan ialah ke mana hala tuju Timbalan Presiden PKR itu selepas ini?
Bolehkah Azmin terus kekal bertahan bersama PKR?
Menyertai parti lain?
Atau menubuhkan sebuah parti baru?
Dengan lagak dan gaya yang ditunjukkan Azmin dalam PKR sekarang, laluan masa depannya terlihat tidak lagi selesa bersama parti itu.
Beliau ternampak semakin mahu menunjukkan kekuatannya, tetapi
makin hari yang lebih tertonjol ialah kekuatan Anwar, bukan dirinya.
Anwar jelas semakin disokong dan diberi kepercayaan untuk menerajui PKR dan negara, manakala Azmin kian tersudut ke tepi.
Sokongan yang diterima Anwar daripada pemimpin yang hadir dalam pemukiman di Port Dickson dan pimpinan negeri-negeri adalah gambaran yang nyata tentang kekuatannya.
Lama kelamaan, keadaan ini tidak memberi kelebihan kepada Azmin. Lebih-lebih lagi dengan Anwar menjadi Perdana Menteri seperti yang dijadualkan selepas ini, masa depan Azmin akan bertambah gelap dibuatnya.
Azmin tentu sedar keadaan itu, maka terus berada dalam PKR adalah pilihan terburuk buat masa depannya.
Azmin juga dilihat sudah lama seolah-olah tawar hati terhadap parti kerana sejak beberapa bulan lalu tidak pernah hadir mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR.
Oleh itu, ketidakhadirannya dalam pemukiman di Port Dickson, biar pun ketika Tun Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pembukaan, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.
Jika pun tidak diapa-apakan dalam waktu terdekat ini, dalam pemilihan PKR yang seterusnya, laluan Azmin untuk mempertahankan jawatannya tentu merupakan detik yang tidak selamat baginya.
Oleh kerana ia adalah pemilihan PKR, Tun Mahathir, jika masih panjang usia ketika itu, tidak mungkin dapat berbuat apa-apa untuk membantu Azmin.
Detik terbaik untuk Azmin berbuat sesuatu menyelamatkan masa depannya ialah ketika Tun Mahathir masih memegang jawatan Perdana Menteri dan memiliki kesihatan yang masih baik seperti sekarang.
Untuk itu, pilihan terbuka luas baginya ialah cepat-cepat meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.
Hanya Bersatu wadah yang ada jaminan masa depan untuk Azmin, lebih-lebih lagi jika setelah Anwar menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir masih lagi panjang usianya.
Tun Mahathir boleh saja meminta Anwar agar terus mengekalkan Azmin dalam kabinet ketika itu. Tetapi jika Azmin masih bersama PKR dan Anwar menjadi Perdana Menteri, kuasa memilih anggota kabinet daripada PKR adalah menjadi hak Anwar memutuskannya.
Bagaimana dengan menubuhkan parti baru?
Menubuhkan sebuah parti baru barangkali bukan kemampuan Azmin untuk melakukannya, bahkan jika itu pilihannya, penyokongnya sekarang pun tidak akan mengikut jejak langkahnya.
Hanya menyertai Bersatu membolehkan Azmin ada masa depan dalam politik PH selepas ini di mana Anwar semakin sukar dinafikan akan menjadi Perdana Menteri yang seterusnya.
Cerahnya masa depan Azmin akan bertambah lagi jika beliau dapat membawa tujuh atau lapan pemimpin PKR sama-sama menyertainya melompat ke dalam Bersatu. (Shahbudindotcom 22/07/2019)

No comments: