Kerajaan negeri P. Pinang umum bantuan khas setengah bulan gaji, minimum RM1,000 sempena Hari Raya


Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP hari ini mengumumkan pemberian setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada 3,905 anggota perkhidmatan awam negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) berkenaan akan dibuat pada 28 Mei 2019 dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM5.27 juta.

“Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberi BKK kepada kakitangan awam negeri dengan bayaran sebanyak 0.5 bulan gaji atau minimum RM1,000,” katanya seperti dipetik Buletin Mutiara pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bersama-sama Ketua Menteri di George Town pagi ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama penjawat awam negeri dalam menjayakan inisiatif bagi membentuk Pulau Pinang sebagai negeri yang ‘A Family-focused Green and Smart State that Inspires the Nation’.

“Di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri cukup bertuah kerana mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat yang mana semua kejayaan yang dikecapi bukanlah kejayaan Ketua Menteri atau wakil rakyat tetapi kejayaan kita semua sebagai penjawat awam.

“Kepimpinan negeri tidak mampu melaksanakan segala dasar sekiranya tiada penjawat awam yang menjadi tulang belakang dalam melaksanakan segala perancangan.

“(Dan) bagi memastikan kita semua berada di landasan yang betul, Kerajaan Negeri telah melancarkan visi Penang2030 pada 29 Ogos 2018 lalu dan kini, menjadi tugas kita (selaku penjawat awam) untuk merealisasikan.

“Marilah kita bekerja dengan lebih kuat lagi bagi menterjemahkan dasar negeri dalam pelbagai bentuk sama ada melalui projek, program mahupun inisiatif bagi memastikan 1.7 juta rakyat Pulau Pinang mendapat manfaat,” katanya. 


No comments: