Siasatan 1MDB akan libatkan Arab Saudi

Image result for anwar ibrahim

Siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan melibatkan penjelasan daripada Arab Saudi, kata Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bakal perdana menteri Malaysia itu yakin penjelasan tersebut diperlukan apabila perbicaraan kes-kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bermula kelak.
“Walaupun pihak Arab Saudi pernah menyatakan bahawa ia tidak melibatkan kerajaan mahupun pihak tertentu di sektor swasta, mereka harus dipertanggungjawabkan.
“Mereka harus menjelaskan, kerana Najib dengan jelas berkata wang RM2.6 bilion yang ditemui di akaun bank peribadinya berasal dari Arab Saudi. Beliau telah mengakuinya.
“Tetapi kerana ia melibatkan beberapa personaliti atau pihak berkuasa di Arab Saudi, kita mesti libatkan pihak atau entiti tersebut,” katanya dalam satu temu bual dengan agensi berita antarabangsa Al Jazeera, baru-baru ini.
Menerusi temubual berkenaan, anggota Parlimen Port Dickson itu turut mengulangi komitmen Pakatan Harapan untuk mendapatkan kembali wang berbilion ringgit yang diseleweng menerusi syarikat pelaburan berkenaan.
“Ia adalah satu proses perlahan. Kita beruntung kerana mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Amerika Syarikat dan Switzerland misalnya. Kita perlukan kerjasama kerana skandal ini merupakan skandal antarabangsa yang bukan hanya melibatkan sesebuah entiti kerajaan malah ia satu jenayah yang kompleks.
“Mungkin tidak sepenuhnya, tetapi kami bertekad untuk mendapatkan semula dana,” katanya.

No comments: