BERPADA-PADALAH KALAU MAHU TUN MAHATHIR BERKUASA LEBIH LAMA!!!



Satu hal yang nampak ketara dan makin berkembang dalam Bersatu, tidak kira ketika ada PRK atau sebaliknya, ialah kecenderungan pihak-pihak tertentu dalam parti itu yang mahukan Tun Mahathir Mohamad terus menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang lebih lama lagi.

Malah, sesetengahnya mahukan kalau boleh biarlah Tun Mahathir meninggal dunia di atas kerusi Perdana Menteri itu sendiri.

Hampir tidak ada yang bersuara bahawa Tun Mahathir, berdasarkan usianya yang mencecah 94 tahun sekarang, sebenarnya lebih wajar memegang jawatan tersebut dalam tempoh singkat saja atau dua tahun pun sudah terlalu lama masanya.

Mereka yang agak pasif pula, setidak-tidaknya beranggapan biarlah tempoh masa itu ditentukan sama ada berdasarkan pilihan Tun Mahathir sendiri atau sehingga beliau menyelesaikan tugas-tugasnya yang tertentu.

Mengapakah tidak ada yang berasa simpati atau kasihan kepada Tun Mahathir di mana dalam usianya sekarang pun, tetapi beliau masih perlu bekerja sepanjang hari, berfikir, mempengerusikan mesyuarat dan kadangkala terpaksa tidur hanya 4 jam saja dalam sehari?

Dengan sudah dua kali menjadi Perdana Menteri, apakah lagi yang penyokong dan pengagumnya mahu beliau lakukan untuk negara ini?

Bukankah Najib Razak, UMNO, BN dan kerajaan kleptokrasi yang dimusuhinya sudah pun berjaya ditumbangkan?

Kepada mereka yang berkenaan itu, sejujurnya adalah lebih wajar dan munasabah untuk mereka lebih berpada-pada dalam desakan terhadap Tun Mahathir itu.

Kasihan dan simpatilah kepada beliau. Kejayaan beliau mampu menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali adalah rekod yang terlalu sukar untuk diatasi oleh sesiapa juga selepas ini.

Selepas kejayaan itu, yang penting buat kali kedua ini bukanlah berapa lama beliau harus memegang jawatan itu, tetapi yang jauh lebih penting ialah dalam keadaan bagaimanakah karier Tun Mahathir akan berakhir nanti?

Tidak guna Tun Mahathir dipaksa menjadi Perdana Menteri dengan lebih lama jika penamat kariernya berakhir dengan perbalahan, permusuhan dan ramai yang membencinya?

Bagaimanakah Tun Mahathir akan dikenang setelah ketiadaannya nanti jika kerana desakan mereka yang mahukannya berkuasa lebih lama itu, penghujung usianya berakhir dengan permusuhan dan kebencian?

Itukah yang kita mahukan terjadi kepada seorang negarawan yang pernah dua kali menjadi Perdana Menteri?

Sepertimana jika kita ada ibu bapa yang sudah lanjut usia, kita sudah tentu tidak mahu mereka terus bekerja sehingga ke usia tua atau sampai kepada 94 tahun misalnya.

Dalam usia sebegitu, kita biasanya lebih mahukan ibu bapa kita banyak berehat dan mengakhiri sisa-sisa usianya dengan kehidupan yang santai dan penuh keceriaan.

Begitu juga dengan Tun Mahathir ini, mendesaknya terus berkuasa dengan lebih lama adalah sesuatu yang tidak normal sebenarnya, malah boleh dikata suatu bentuk penderaan saja layaknya.

Ini kerana mereka yang mahukan beliau berkuasa lebih lama itu tidak lain mempunyai niat tersembunyi berupa kepentingan peribadi yang dirasakan semua nikmat kehidupan mereka akan segera berakhir jika Tun Mahathir tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri.

Jika mereka berniat suci, ada perassan simpati, menganggap Tun Mahathir seperti bapa sendiri serta mahukan namanya terus harum tanpa sesiapa membencinya selepas ketiadaannya, pilihan yang terbaik ialah tidak mendesaknya lagi untuk terus bekerja dalam usianya seperti sekarang ini.

Beliau sudah pun berjaya membina negara sebelum ini selama 22 tahun lamanya. Sekarang ini beliau berjaya menubuhkan Bersatu serta memimpin PH sehingga menjadi sebuah kerajaan.

Memang negara ada banyak masalah, tetapi meletakkan semua beban kepada beliau untuk menyelesaikannya dan seolah-olah orang lain tidak ada keupayaan, ia hanya merupakan penderaan semata-mata.

Memimpin negara adalah proses yang berterusan. Seseorang pengganti harus diberi peluang membuktikan keupayaan, apalagi jika nama pengganti itu sudah pun ditetapkan atas persetujuan bersama.

Tun Mahathir sudah banyak "membunuh" mereka yang dinamakan sebagai penggantinya, baik sepanjang berkuasa selama 22 tahun, mahu pun setelah berada di luar kerajaan sebelum ini.

Di penghujung usianya ini, adalah zalim jika masih ada yang mahu Tun Mahathir "terus membunuh lagi" penggantinya, tambahan lagi kalau "pembunuhan" itu adalah buat kali yang kedua terhadap seorang pengganti yang sudah pun bersetuju untuk berdamai dan saling berbaik-baik dengannya. (ShahbudinHusin 27/02/2019).