Kerajaan digesa tutup Lynas
Kumpulan anti-Lynas, Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) segera menutup kilang pemprosesan nadir bumi milik syarikat Australia di Gebeng.
Dalam kenyataan media yang dibuat selepas perjumpaan awam yang diadakan jawatankuasa kaji semula Lynas di Kuantan, Pahang, kumpulan itu berkata rakyat menggesa penutupan Lynas Malaysia Sdn Bhd dan ia jelas dapat dilihat pada 600 yang hadir perjumpaan itu.
“Lebih 600 yang hadir perjumpaan itu jelas mahu menyampaikan mesej yang jelas kepada kerajaan PH.
“Rakyat sudah bersuara. Kami mengundi PH kerana kami mahukan masa depan yang selamat dan bersih. Kami akui cabaran yang dihadapi kerajaan bagi menguruskan isu toksik yang disebabkan oleh kerajaan Najib ini. Bagaimanapun, sebagai pembayar cukai dan rakyat Malaysia, kami menggesa kerajaan menutup Lynas sekarang,” kata pengerusi kumpulan itu Tan Bun Teet.
Kumpulan anti-Lynas yang sudah berkempen membantah operasi Lynas sejak 2011 itu berkata beberapa kes mahkamah cuba menghentikan kerajaan di bawah pentadbiran Najib daripada memberikan lesen kepada syarikat berkenaan.
Penasihat undang-undang kumpulan itu, Hon Kai Ping mendakwa Lynas melanggar syarat lesen dari pelbagai aspek namun tiada tindakan dikenakan ke atas syarikat itu.
“Sebaliknya mereka bertindak membelakangkan kepentingan negara dan rakyat dengan membantu dan memudahkan syarikat asing dalam melakukan kesalahan. Tiada alasan langsung untuk mengekalkan operasi Lynas yang menghasilkan lebih banyak bahan buangan yang bahaya kepada negara,” kata Hon.
Selamatkan Malaysia Hentikan Lynas berkata, sisa water leached purification (WLP) mempunyai radioaktif hampir 8Bq/g menurut kajian UKM pada 2014, iaitu lapan kali lebih tinggi daripada yang dibenarkan.
“Berdasarkan dokumen DoE, lebih 450 kilo-ton WLP disimpan di loji penapisan yang hanya dilindungi dengan plastik HDPE tipis.
“Jika ini piawai antarabangsa Lynas dalam menguruskan bahan buangan, kita dalam bahaya,” kata Tan.