Rakyat P.Pinang terima hasil Agenda Ekonomi Saksama sejak 2009



PERMATANG BERANGAN, 29 APR: Ketelusan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (ph) Pulau Pinang  membuahkan hasil kepada rakyat negeri itu melalui program Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang dilaksanakan sejak tahun 2009.
Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, pelaksanaan program itu bertujuan untuk memastikan pedapatan per kapita (purata) keluarga di Pulau Pinang tidak kurang daripada RM220 sebulan.
Ia bermaksud, jika sebuah keluarga dengan lima orang isi rumah dan pendapatan kurang RM1,000 sebulan, pendapatan per kapita keluarga itu kurang daripada RM220.
Oleh yang demikian, kerajan negeri akan memberi tambah nilai sebanyak RM100 setiap bulan.
“Kita (Kerajaan Negeri) bukan memberi bantuan kewangan lima tahun sekali, tapi tiap-tiap bulan.
“Inilah (program AES) sesuatu yang tidak pernah diterima rakyat sebelum tahun 2008,” katanya  lapor Buletin Mutiara.
Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian dalam Majlis Pembayaran Program AES dan i-Sejahtera di Dewan Serbaguna Taman Sepadu dekat Parlimen Tasek Gelugor hari ini.
Sejak tahun 2009 hingga bulan Mac 2017, kerajaan negeri telah mengeluarkan sejumlah RM23 juta (RM23,215,968) bagi program tersebut dan sekitar 50 peratus penerima adalah dari daerah Seberang Perai Utara.
Katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan itu, Kerajaan Negeri akan terus berdikari mencari sumber kewangan demi memastikan golongan semua golongan terpilih termasuk wanita, ibu tunggal dan kanak-kanak mendapat pembelaan sewajarnya.
Antara pimpinan yang hadir dalam maslis petang itu ialah Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng; dan Penasihat Strategik kepada Ketua Menteri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Majlis turut menyaksikan pemberian bantuan sebanyak RM1,000 kepada waris warga emas meninggal dunia, serta RM100 kepada ibu tunggal berdaftar.
Menurut Saifuddin, sejak tahun 2008 sehingga kini, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak sebanyak RM412.63 juta bantuan kewangan di bawah program i-Sejahtera secara tunai kepada warga emas, ibu tunggal, ibu emas, bayi baru lahir, ‘pelajar emas’, orang kurang upaya (OKU), mahasiswa daftar masuk universiti terpilih dan waris warga emas meninggal dunia.