Usul mengejut Hudud untuk Pilihan Raya Kecil? – Khalid
Posted By Pentadbir
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad mempersoalkan mengapakah kerajaan BN membenarkan usul yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Abdul Hadi Awang dibentangkan secara mengejut dan tidak mengikut prosedur kebiasaan Dewan.
Beliau yang ditemui wartawan di lobi parlimen berkata, usul seperti itu adalah pertama kali dalam sejarah apabila kerajaan BN memberi laluan kepada usul peribadi pembangkang sebelum usul atau rang undang-undang kerajaan selesai dibahaskan.
“Usul peribadi hanya boleh dibentang sekiranya kerajaan memberi laluan. Apa yang telah berlaku hari ini merupakan satu prosedur yang tak pernah berlaku sebelum ini.
“Kita nak faham apakah faktor yang menyebabkan kerajaan mengutamakan usul ini berbanding urusan kerajaan yang lain seperti akta – akta yang dibahas ketika ini.
“Saya minta ia dijelaskan, adakah kerana pilihan raya kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kerajaan tak jawab, kita tak tahu.
“Tak tahu apa sebab, tiba-tiba mereka sokong usul daripada Pas,” katanya.