Amanah berpeluang menang di Sg Besar – Tinjauan pendapat
Satu tinjauan pendapat dalam kalangan pengundi di Parlimen Sungai Besar yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda mendapati Parti Amanah Negara (Amanah) mempunyai peluang tipis untuk memenangi Pilihan Raya Kecil parlimen Sungai Besar.
“Kebarangkalian tinggi ialah Umno-BN akan menang. Namun begitu kami yakin Amanah dapat menewaskan PAS jika bertanding,” kata Musadiq Khalid, salah seorang yang terlibat melakukan tinjuan.
Beliau berkata, sokongan 100% penyokong DAP kepada Amanah amat diperlukan bagi menjayakan ramalan itu.
Katanya lagi, rakyat di Sungai Besar teruja untuk melihat Amanah buat pertama kali bagi melakukan perbandingan kemampuan dan dasar perjuangan antara parti itu dan PAS.
“Amanah boleh menggunakan peluang ini untuk mengkaji respon rakyat terhadap parti mereka dan segala kelemahan boleh diperbaiki sebelum Pilihanraya Umum Ke-14”, katanya.
Sementara itu, tinjauan rakyat yang dilakukan oleh wartawan Suara pakatan daily di Ipoh ke atas 35 orang penyokong Pakatan Harapan mendapati kesemua mereka berpendirian tegas bahawa Amanah harus bertanding di parlimen itu sebagai satu ujian kekuatan sebelum PRU14.
“Inilah peluang keemasan untuk Amanah menggerakkan jentera mereka sebelum PRU14.
“Setelah Pilihan Raya Kecil di Sg. Besar dan Kuala Kangsar, saya pasti Amanah akan menjadi lebih kuat lagi selepas nama Amanah diperkenalkan kepada rakyat.
“Sekarang ada ramai rakyat yang tidak tahu mengenai Amanah,” kata Michael Hoong, seorang warga emas berumur 70 tahun.