WSJ dedah surat rahsia babitkan Jho Low, DAP gesa Pengerusi PAC letak jawatan


KUALA LUMPUR, 28 MEI: Misteri keengganan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin untuk mendedahkan surat yang diterimanya daripada Bank Negara Malaysia (BNM) akhirnya dijawab oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ).
WSJ, dalam siri laporannya mendedahkan bahawa surat daripada BNM itu menamakan Low Taek Jho atau Jho Low sebagai pemilik syarikat Good Star Limited.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, menuntut agar Hasan meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi PAC kerana telah berbohong kepada jawatankuasa, menyembunyikan bukti serta menghalang siasatan ke atas syarikat sarat hutang, 1MDB.
“Tindakan Hasan itu sebelum ini mengundang keraguan kerana anggota-anggota PAC sendiri tidak dibenarkan melihat kandungan surat itu, sedangkan kami mempunyai autoriti untuk melihat dokumen di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Beberapa hari lepas, saya telah mempersoalkan sama ada Hasan bertindak sedemikian kerana kandungan surat itu menyebut tentang Jho Low sebagai pemilik Good Star Limited. Nampaknya, dugaan saya benar,” kata Setiausaha Publisiti DAP itu dalam satu kenyataan.
Surat daripada Bank Negara bertarikh 23 Mac yang didedahkan WSJ mendedahkan bahawa Good Star Limited – syarikat penerima dana AS$1.03 bilion daripada 1MDB, merupakan “milik seorang individu yang tidak berkaitan dengan Petrosaudi International.”
Ia bercanggah dengan dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pegawai-pegawai tertinggi 1MDB yang kononnya syarikat itu merupakan milik kumpulan Petrosaudi.
Anggota-anggota PAC pembangkang telah menggesa Hasan supaya menunjukkan kandungan surat terbaru BNM bertarikh 6 April kerana percaya bahawa ia mempunyai maklumat berhubung perkara tersebut, namun Hasan enggan memberi kebenaran.
Tony yang turut menganggotai PAC mendakwa bahawa Hasan telah menyalahgunakan jawatannya sebagai Pengerusi PAC dengan menjadi alat kepada penjenayah-penjenayah 1MDB yang merompak wang cukai rakyat.
“Jika Hasan menunjukkan kandungan surat itu kepada kami (anggota-anggota PAC), sudah tentu skandal 1MDB dapat disiasat dengan lebih mendalam dan terperinci. Namun, beliau enggan serta cuba menyembunyikan kebenaran tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang kesal dengan tindakan Perdana Menteri dan juga Bank Negara sibuk membuat laporan polis terhadap WSJ kerana kononnya media itu telah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Baginya, apa yang lebih penting ialah status milikan Good Star Limited yang membuktikan AS$1.03 bilion pemberian 1MDB kepada syarikat itu merupakan satu penyelewengan dan bukannya pelaburan.
“Jika dokumen WSJ itu benar, maka ia konsisten dengan maklumat siasatan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan 1MDB yang kini dijalankan oleh enam negara. Kerajaan pimpinan Najib Razak mesti bertanggungjawab terhadap perkara ini,” tegasnya. – Roketkini.com

No comments: