Pakatan Harapan tandatangani perjanjian bersejarah esok – Saifuddin
Ketiga-tiga buah parti politik dalam Pakatan Harapan; PKR, DAP dan Amanah akan menandatangani satu perjanjian politik, “Perjanjian Pakatan Harapan” pada 9 Januari ini.
Menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Dato’ Saifuddin Abdullah, perjanjian tersebut adalah lanjutan persetujuan yang dicapai oleh mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 5 Januari lalu.
Kata beliau, perjanjian yang mengandungi 7 Fasal mengenai kedudukan Majlis Presiden sebagai badan pembuat keputusan tertinggi dan persefahaman dalam pilihan raya adalah yang pertama seumpamanya dalam sejarah politik tanahair dan akan memastikan PH dikendalikan secara mantap menjelang pilihan raya umum ke 14.
“Perjanjian ini adalah inisiatif dan komitmen Pakatan Harapan untuk meningkatkan kerjasama dalaman ke tahap tertinggi, iaitu mencapai tahap “kesatuan politik yang mampan”.
“Perjanjian ini akan ditandatangani dan dilancarkan dalam sebuah Persidangan Pimpinan Pakatan Harapan yang berlangsung 9 Januari 2016 ini dari jam 9.30 pagi hingga 1 petang di SACC Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Saifuddin lagi, persidangan itu akan dihadiri 150 pemimpin kanan bagi ketiga-tiga parti dalam PH, iaitu 50 orang dari setiap parti.
Manakala aturcaranya bermula dengan ucapan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Dato Saifuddin Abdullah; Pembentangan kandungan Perjanjian oleh Setiausaha Agung dan Setiausaha Organisasi Nasional – Rafizi Ramli, Anthony Loke dan Anuar Tahir; Ulasan oleh 9 orang Perwakilan (3 dari setiap parti); Ucapan Presiden dan Setiausaha Agung – Mohamad Sabu, Lim Guan Eng dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan berakhir dengan gimik pelancaran “Perjanjian Pakatan Harapan”.