Konflik P. Pinang: PKR benarkan undi berkecuali isu sensitif
Pertikaman lidah antara pemimpin PKR dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dianggap selesai selepas Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil menegaskan parti itu membenarkan pengundian berkecuali dilakukan dalam isu-isu yang sensitif.
“KEADILAN telah meneliti isu lima Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dari KEADILAN yang telah membuat keputusan untuk tidak mengundi usul yang dibawa seorang ADUN UMNO pada Khamis lalu.
“Secara dasarnya, KEADILAN membenarkan pengundian mengikut suara hati (“conscience vote”) di dalam isu-isu tertentu.
“Pengundian lima ADUN KEADILAN pada Khamis lalu adalah berdasarkan “conscience vote” ini kerana ia merupakan suatu isu alam sekitar yang rumit,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Fahmi, meskipun KEADILAN tidak bersetuju dengan pendirian UMNO di dalam isu berkenaan, namun usul yang memohon supaya projek tebus guna tanah pada masa akan datang melalui proses kaji selidik alam sekitar yang menyeluruh adalah baik.
“KEADILAN berpuas hati dengan penjelasan lima ADUN tersebut, dan beranggapan “conscience vote” ini adalah amalan demokrasi biasa yang perlu digalakkan di negara ini.
“KEADILAN akan terus membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
“Pada masa yang sama, saya memohon agar tiada lagi kenyataan yang dibuat oleh pimpinan KEADILAN oleh kerana perkara ini boleh dibincangkan dengan lebih lanjut di peringkat Pakatan Harapan,” katanya lagi.