Rafizi dedah Najib tawar Anwar jadi TPM


PKR mempertahankan dakwaan bahawa Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja pernah ditawarkan jawatan timbalan perdana menteri (TPM) selepas pilihan raya umum (PRU) lalu malah ditawarkan empat jawatan menteri.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, tawaran menyertai kerajaan Barisan Nasional (BN) itu dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai langkah rekonsiliasi nasional selepas PRU dengan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla sebagai orang tengah.

Tawaran itu sebelum ini didedahkan anak sulung Anwar, Nurul Izzah semasa satu ceramah di Pulau Pinang.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mempersoalkan dakwaan itu dan mengatakan kenyataan Nurul itu tidak boleh dipercayai.

"Kenapa buat dakwaan ini selepas dua tahun? Kita (BN) adalah majoriti semasa PRU lalu jadi kenapa kita perlu tawarkan jawatan nombor dua kepada individu yang kalah," soal ketua Pemuda Umno itu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam Twitter berkata: "BN tawarkan jawatan TPM kepada Anwar yang kalah empat PRU berturut-turut? Nurul, kawal diri anda! #Drama".

Rafizi hari ini berkata, tawaran Najib itu dibuat dengan syarat PKR perlu memutuskan hubungannya dengan DAP dan PAS.

"Datuk Seri Anwar bawa perkara ini dalam mesyuarat PKR dan pimpinan Pakatan.

"Kami membuat keputusan dan menjelaskan kepada Umno sebarang perpaduan nasional mesti disertai DAP dan PAS kerana ia punca Pakatan menang 52% undi popular. Bermula dari situ timbulnya krisis perpecahan.

"Khairy boleh kata apa saja yang dia mahu tetapi saya tidak rasa Datuk Seri Najib Razak memberitahu kepadanya, malah saya tak rasa Najib membincangkan perkara ini dengan Khairy atau Rahman Dahlan jadi mereka boleh membebel di Twitter sesuka hati mereka," katanya.

Nurul Izzah memberitahu kira-kira 1,000 penyokong di Pulau Pinang pada Ahad lalu yang Anwar setuju untuk berunding dengan Najib mengenai penekanan perpaduan selepas PRU13.

Naib presiden PKR itu berkata, bapanya meletakkan syarat perlu ada usaha membanteras rasuah di setiap peringkat kerajaan persekutuan dan membangkitkan isu ekonomi tetapi usaha itu tidak membuahkan hasil.