Jika
sebelum ini, bermula dengan kunjungan Saiful ke rumah Najib Razak untuk
mengadu diliwat sebelum membuat laporan polis dan perlantikan Shafee
sebagai timbalan pendakwaraya sudah pun dikaitkan dengan motif politik,
namun selepas Anwar dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun, unsur
politik itu semakin tidak mampu disembunyikan lagi.
Kesediaan
Shafee mengiklankan dirinya dan bercakap secara terbuka serta
terperinci mengenai kejadian liwat yang didakwa berlaku antara Anwar
dengan Saiful setelah hukuman dijatuhkan, akhirnya menyedarkan rakyat
bahawa itulah antara tujuan utama perlantikannya.
Sudah
tentu jika pasukan daripada Jabatan Peguam Negara yang mengetuai
pendakwaan kes liwat itu, adalah mustahil mereka boleh terus bercakap
dengan media atau tampil di forum anjuran parti politik sebaik kes
berakhir dan hukuman sudah dijatuhkan.
Mereka
pasti akan tutup buku dan menumpukan kepada kes yang lain pula. Tetapi
kerana Shafee yang yang dilantik, semuanya jadi berbeza. Beliau
melakukan apa yang tidak mungkin dilakukan jika Gani Patail misalnya
mengetuai pendakwaan.
Setelah
mengadakan pelbagai temubual dengan media dan bercakap di forum anjuran
Pemuda UMNO, Shafee juga bersetuju untuk turun ke seluruh negara
bersama Pemuda UMNO untuk terus bercakap lagi mengenai keburukan Anwar.
Sebagaimana
yang beliau bercakap dalam dialog anjuran AKHI tempohari, yang
dikisahkannya dalam jelajah itu nanti tentunya lebih kepada
cerita-cerita dalam seluar yang semata-mata bertujuan memburuk-burukkan
peribadi serta untuk mengasingkan lagi Anwar daripada sokongan rakyat.
Tidakkah ia sebenarnya bersifat politik?
Tidak
cukup dengan itu, Shabery Cheek pula tampil menyatakan kesediaan RTM
menyediakan ruang di televisyen bagi forum terbuka atau debat yang
melibatkan Shafee itu. Sudah tentu tujuannya ialah supaya lebih ramai
dapat mengetahui cerita-cerita sensasi yang didakwa melibatkan Anwar dan
Saiful.
Sekali lagi, pastilah tujuannya untuk manfaat politik UMNO juga.
Kenapakah
ketika ini RTM pihak begitu pemurah dan ghairah mahu memberi ruang
kepada agenda membelasah Anwar sedangkan beliau sudah pun dihukum
penjara?
Tidak cukup lagikah kejayaan memenjarakannya selama lima tahun itu?
Tetapi
dengan AJK Pas Pusat, Hanipa Maidin sudah menyahut cabaran untuk ikut
serta dalam forum atau debat itu, kita tentu ingin mengetahui sama ada
ruang di RTM itu masih terbuka atau sebaliknya.
Di
sisi yang lain, jika UMNO selama ini mengatakan kes liwat ini adalah
hal peribadi antara Anwar dengan Saiful, kenapakah setelah beliau
dipenjara dan tidak mampu melawan lagi, serangan dan belasahan yang
bertujuan mengaib dan memburuk-burukkannya lebih dahsyat dan tersusun
lagi?
Bukankah ia sepatutnya dibiarkan berakhir seadanya saja? Apa lagi yang mahu dibuktikan kepada rakyat dengan pemenjaraan itu?
Kalau
alasan adanya pertikaian banyak pihak mengenai hukuman yang diterima
Anwar menjadi sebab perlunya Shafee terus diheret dan dijadikan "model
produk iklan", pembebasan Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat
membunuh Altantuya juga dipertikaikan?
Dalam
masa yang sama, hukuman mati yang diterima Azilah Hadri dan Sirul Azhar
Umar atas tuduhan membunuh model Mongolia itu sedangkan tiada motif
diketahui dan siapa yang memberi arahan juga masih misteri, turut
menjadi pertikaian ramai?
Kenapa tiada program jelajah atau penerangan ke seluruh negara mahu diadakan?
Berbuih
sekali pun mulut pemimpin UMNO berhujah mengatakan tiada unsur politik
dalam kes Anwar ini, tetapi yang nyata dan makin difahami oleh ramai
orang adalah sebaliknya. Semuanya tersingkap satu demi satu oleh
perjalanan masa.
Tidak
ada sesiapa lagi, termasuk makcik Felda atau pengundi tua di hujung
kampung yang tidak memahami bahawa kepentingan politik adalah
segala-galanya kerana setelah jasad Anwar dipenjara, rupa-rupanya
pengaruh politiknya juga yang ditakuti. ( SH 19/02/2015)