Aktivis PAS cadang Hadi Awang jadi Mursyidul Am baharu


Saya ingin merujuk kepada laporan akhbar Sinar Harian Online pada 16 Februari 2015 yang bertajuk "Haron Din: Siapa ganti Nik Aziz belum dipilih".

Laporan akhbar tersebut antara lain menyebutkan bahawa Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menyatakan seperti berikut:


Tidak timbul isu pengganti Nik Aziz sehingga tamat tempoh sesi Majlis Syura Ulamak (MSU) 2011-2015.
Mengikut Perlembagaan PAS jawatan dan tugas mursyidul am PAS secara automatik akan dipangku oleh timbalannya apabila berlaku kematian sehingga  pemilihan dalaman dibuat bagi menentukan individu yang paling layak dipilih menduduki jawatan tersebut.

Kriteria calon Mursyidul Am hendaklah “individu itu mestilah dikenali umum sebagai ahli ilmu, sifat-sifat jelas ketara mendukung prinsip ulama yang diterima umum, berakhlak yang dipanggil hasanah dan tidak kontroversi.

Saya ingin mengulas sedikit berkaitan tiga (3) perkara yang dinyatakan oleh Dato' dr Haron di atas.

1) Tidak timbul isu pengganti sehingga tamat tempoh sesi Majlis Syura Ulamak 2011-2015.

Saya ingin menyatakan bahawa kenyataan tersebut tidak tepat malah bertentangan dengan Perlembagaan PAS. Saya hairan bagaimana seorang yang memegang jawatan timbalan mursyidul am tidak faham atau keliru dengan kedudukan beliau serta Majlis Syura Ulamak di sisi Perlembagaan PAS.

Untuk makluman Datuk Dr Haron, ahli MSU dan seluruh ahli PAS, institusi Majlis Syura Ulama tidak ada tempoh tamat atau penggal pentadbiran seperti Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP) mahupun Dewan-Dewan di dalam PAS.

Majlis Syura Ulamak PAS (MSU) yang ditubuhkan mengikut Fasal 8 Perlembagaan PAS tidak mempunyai jangka hayat tertentu. MSU adalah suatu institusi berpanjangan yang kekal selagi mana Perlembagaan PAS dan PAS itu sendiri wujud. Tidak ada suatu fasal di dalam Perlembagaan PAS mengatakan bahawa MSU mempunyai tempoh hayatnya.

Apa yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan hanyalah tempoh hayat seseorang ahli Majlis Syura atau pemegang jawatan di dalam Majlis Syura.

Fasal 8 (5) Perlembagaan PAS menyebutkan bahawa ahli Majlis Syura Ulama itu hendaklah memegang jawatannya selama lima tahun.

Bagaimanapun ahli majlis ini boleh berhenti sebelum cukup tempoh lima tahun dan boleh diberhentikan oleh Majlis Syura yang mempunyai kuasa menentukan kelayakan seseorang ahli mengikut peruntukan ceraian (3) fasal ini dan sebab-sebab seseorang ahli itu patut diberhentikan.

Begitu juga peruntukkan Fasal 8(6) dan Fasal 8(7) yang menyatakan bahawa Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am dan Setiausaha Majlis Syura Ulama memegang jawatan untuk tempoh lima (5) tahun.

Mursyidul Am, Timbalan Mursyidul Am, Setiausaha dan ahli-ahli MSU hanya berhak memegang jawatan untuk tempoh lima (5) tahun melainkan mereka diperbaharui lantikan mereka oleh pihak yang melantik.

Untuk menjadi Ahli Majlis Syura Ulama, seseorang itu hendaklah dilantik oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (JKPP), Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) dan oleh ahli Majlis Syura sendiri.

JKPP dan DUPP masing-masing berhak melantik empat (4) orang ahli MSU manakala DPPP dan DMPP masing-masing berhak melantik dua (2) orang yang membawa kepada jumlah dua belas (12) orang. Seterusnya dua belas (12) ahli yang telah dilantik tadi berhak melantik tidak lebih lima (5) ahli lain melalui mesyuarat mereka.

Jumlah keseluruhan ahli MSU ialah tidak lebih tujuh belas (17) orang. Ini disebutkan di Fasal 8(4) Perlembagaan PAS.

Kemudian seluruh ahli MSU akan bermesyuarat bagi melantik seorang ketua yang dinamakan Mursyidul Am dan seorang timbalan ketua yang dinamakan Timbalan Mursyidul Am.

Kesemua ahli MSU termasuk Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am serta Setiausaha MSU memegang jawatan untuk tempoh lima (5) tahun tetapi MSU itu sendiri tiada tamat tempoh kerana ahli-ahli MSU tidak dilantik secara serentak.

Ada di kalangan ahli MSU baru sahaja dilantik tahun ini maka tempoh pegangan jawatan itu tamat dalam masa lima (5) tahun.

Atas sebab itu, MSU tidak ada penggal sesi seperti yang difahami oleh Datuk Dr Haron. Timbalan mursyidul am pun gagal memahami Perlembagaan parti sendiri, sedihnya.

2) Mengikut Perlembagaan PAS, timbalan mursyidul am secara automatik pangku jawatan mursyidul am bila berlaku kekosongan.

Ini adalah kenyataan yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan PAS. Saya merujuk kembali kepada peruntukkan Fasal 8(6) Perlembagaan PAS yang menyebutkan seperti berikut:

Seorang Ketua Majlis Syura Ulama yang dikenali sebagai mursyidul am dan seorang timbalannya yang dikenali sebagai timbalan mursyidul am hendaklah dipilih di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun dengan syarat dia boleh berhenti sebelum cukup tempoh tersebut dan boleh diberhentikan dengan persetujuan dua pertiga daripada ahli-ahli Majlis Syura Ulama itu dan boleh diperbaharui perlantikannya setelah tamat tempoh dia memegang jawatan itu.

Seterusnya saya merujuk kepada Fasal 8(8) dan Fasal 9(1) Perlembagaan PAS yang menyebut seperti berikut:

Fasal 8(8) :
Mursyidul am hendaklah mempengerusikan semua mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura Ulama. Sekiranya ketiadaan mursyidul am dengan apa-apa sebab sekalipun, tugas mempengerusikan mesyuarat Majlis Syura Ulama itu hendaklah dijalankan oleh timbalan mursyidul am. Jika kedua-duanya berhalangan atas apa-apa sebab, maka mesyuarat Majlis Syura Ulama hendaklah melantik salah seorang dari kalangan ahli-ahlinya untuk mempengerusikan mesyuarat itu.

Fasal 9(1) : Tugas-tugas Majlis Syura Ulama, Mursyidul am;

i) Bertanggungjawab sebagai ketua Majlis Syura Ulama bagi melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Fasal 8 (1)(a), (b) dan (c) Perlembagaan ini.
ii) Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura Ulama.
ii) Mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS

Untuk perhatian, tidak ada suatu klausa atau fasal khusus menyatakan bahawa dalam ketiadaan mursyidul am, timbalannya akan memangku jawatan tersebut. Apa yang diperuntukkan hanyalah bahawa dalam ketiadaan Mursyidul Am untuk mempengerusikan mesyuarat, maka Timbalan Mursyidul Am boleh menggantikan Mursyidul Am mempengerusikan mesyuarat.

Mempengerusikan mesyuarat bukan bermaksud timbalan mursyidul am memangku jawatan mursyidul am kerana jika dalam ketiadaan timbalan mursyidul am, maka mesyuarat MSU hendaklah melantik salah seorang dari kalangan ahli MSU untuk mempengerusikan mesyuarat.

Jika ahli MSU melantik seseorang ahli lain mempengerusikan mesyuarat MSU, adakah itu bermakna ahli tersebut memangku jawatan mursyidul am? Sudah pasti jawapannya TIDAK. Ahli tersebut hanya bertindak sebagai pengganti pengerusi mesyuarat sahaja bukan sebagai mursyidul am.

Jawatan mursyidul am ialah jawatan tetap milik individu yang dilantik oleh ahli-ahli MSU yang tidak boleh dipangku oleh sesiapa. Mursyidul am tidak seperti jawatan Presiden. Presiden dalam ketiadaannya akan dipangku oleh Timbalan Presiden. Ini jelas disebutkan di dalam Fasal 25 (8) seperti berikut:

Jika sekiranya presiden berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa jua sebab yang menjadikan ia terhalang daripada memegang jawatannya itu, maka timbalan presiden dengan sendirinya memangku jawatan presiden sehingga presiden itu dapat dipilih semula, atau dapat memegang jawatannya semula.

Seterusnya Fasal 25 (9) menyebutkan seperti berikut :

Jika sekiranya Presiden dan Timbalannya berhenti atau diberhentikan atau dengan apa-apa sebab juapun yang menjadikan mereka terhalang daripada memegang jawatan-jawatan itu, maka salah seorang daripada Naib-Naib Presiden yang dilantik oleh Muktamar Tahunan hendaklah dipilih oleh Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk memangku jawatan Presiden dan seorang lagi memangku jawatan Timbalan Presiden bagi menjalankan pentadbiran dan kerja-kerja Presiden dan Timbalannya sehingga seorang Presiden dan Timbalan Presiden dapat dipilih semula atau dapat memegang semula jawatannya itu, maka hendaklah dipilih di antara kalangan Ahli-ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi memangku jawatan Naib-Naib Presiden itu sehingga mereka dapat dipilih semula atau dapat memegang jawatan itu semula setelah Presiden dan Timbalannya memegang jawatan mereka semula.

Jika kita perhatikan peruntukkan-peruntukkan tersebut, maka adalah jelas bahawa jawatan mursyidul am tidak seperti jawatan presiden atau timbalan presiden yang boleh dipangku jika jawatan tersebut kosong.

Konsep Perlembagaan dan undang-undang ialah jika dalam suatu peruntukkan disebutkan secara khusus, jika tiada peruntukkan khusus disebutkan dalam fasal yang lain maka ia bermaksud peruntukkan khusus itu yang digunapakai.

Dalam konteks jawatan Mursyidul Am ini adalah jelas tidak diperuntukkan tentang tindakan memangku seperti bagi jawatan presiden maka JELAS bahawa jawatan mursyidul am tidak boleh dipangku.

Dalam situasi sekarang apabila mursyidul am itu mengalami kekosongan, maka ahli MSU hendaklah bermesyuarat melantik seorang mursyidul am yang baru. Tidak boleh dianggap timbalan mursyidul am memangku jawatan mursyidul am kerana Perlembagaan tidak memberikan peruntukkan tersebut.

3) Kriteria calon Mursyidul Am hendaklah “individu itu mestilah dikenali umum sebagai ahli ilmu, sifat-sifat jelas ketara mendukung prinsip ulama yang diterima umum, berakhlak yang dipanggil hasanah dan tidak kontroversi.

Siapa yang layak dilantik sebagai mursyidul am PAS? Perlembagaan PAS tidak menyebutkan kriteria khusus siapa yang layak dilantik sebagai mursyidul am.

Fasal 8(6) Perlembagaan PAS hanya menyebutkan bahawa:-

Seorang ketua Majlis Syura Ulama yang dikenali sebagai mursyidul am dan seorang timbalannya yang dikenali sebagai timbalan mursyidul am hendaklah dipilih dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Majlis Syura Ulama tersebut dari kalangan ahli-ahlinya dan akan memegang jawatan itu selama lima tahun.

Peruntukkan ini jelas bahawa mursyidul am itu dilantik oleh ahli MSU di dalam mesyuarat mereka. Maka jelas Perlembagaan memberikan kuasa kepada seluruh ahli MSU untuk melantik siapa yang difikirkan paling layak untuk mengetuai mereka sebagai Mursyidul Am.

Ahli MSU lebih arif untuk menyetahui siapa yang paling layak di antara mereka.

Cuma sebagai cadangan di atas kriteria yang disebutkan oleh Datuk Dr Haron di atas, saya mohon mencadangkan ahli MSU melantik Presiden PAS Datuk Seri Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai mursyidul am PAS yang baru.

Ini kerana presiden ialah individu yang dikenali umum sebagai ahli ilmu, sifat jelas ketara mendukung prinsip ulama yang diterima umum, berakhlak yang dipanggil hasanah dan tidak kontroversi.

Malah Datuk Seri presiden yang memegang jawatan naib ketua ulama sedunia adalah selayaknya diangkat oleh ahli MSU sebagai mursyidul am PAS yang ketiga.

Bagi saya tiada yang lebih layak berbanding Datuk Seri Presiden. Adakah dengan mencadangkan Datuk Seri Presiden ini dianggap menolak Datuk Dr Haron sebagai mursyidul am.

Jawapannya: Ya. Adakah kita semua hendak mengatakan Datuk Dr Haron lebih layak dari segi keilmuan, sifat dan prinsip serta akhlak berbanding Datuk Seri presiden?

Jika kita mengatakan, Ya, maka kita telah merendahkan martabat Datuk Seri presiden yang diiktiraf dunia. Jika Datuk Dr Haron lebih hebat daripada Datuk Seri Presiden, mengapa beliau tidak dilantik sebagai naib ketua ulama dunia?

Dari sudut itu sahaja sudah cukup membuktikan bahawa Datuk Seri presiden adalah insan terlayak diangkat sebagai mursyidul am PAS yang baru.


ZULHAZMI SHARIFF seorang pengamal undang-undang dan aktivis PAS

No comments: