Akuan bersumpah 30 Adun sah dan mencukupi, kata peguam

Akuan bersumpah 30 Adun sah dan mencukupi, kata peguam


Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak percaya Akuan Berkanun yang ditandatangani 30 Adun adalah satu bukti konklusif Khalid hilang kepercayaan majoriti sebagai menteri besar dan ia boleh ditarik dan dipinda pada bila-bila masa sahaja. – Gambar The Malaysian Insider, 17 Ogos, 2014. 

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak percaya Akuan Berkanun yang ditandatangani 30 Adun adalah satu bukti konklusif Khalid hilang kepercayaan majoriti sebagai menteri besar dan ia boleh ditarik dan dipinda pada bila-bila masa sahaja. – Gambar The Malaysian Insider, 17 Ogos, 2014.


Akuan Berkanun (Statutory Declaration) yang ditandatangani 30 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor bukti konklusif dan jelas mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata pertubuhan peguam Lawyers for Liberty.

Dalam satu kenyataan hari ini, Afiq M Nor dari pertubuhan itu menegaskan Akuan Berkanun tersebut satu dokumen yang serius dan mempunyai kesan di bawah undang-undang.
"Saya percaya semua 30 Adun yang menandatangani Akuan Berkanun tersebut, mengetahui dan maklum akan implikasi perundangan sekiranya mereka menyediakan satu akuan palsu dan tidak benar.


"Menurut Seksyen 3 Akta Akuan Berkanun 1960, menyediakan satu akuan palsu merupakan satu kesalahan jenayah dan boleh dihukum di bawah Seksyen 199 dan 200 Kanun Kesiksaan," katanya. Afiq merujuk kenyataan peguam Khalid yang menyatakan Akuan Berkanun itu bukan satu bukti konklusif Khalid hilang kepercayaan majoriti sebagai menteri besar dan ia boleh ditarik dan dipinda pada bila-bila masa sahaja.

Oleh yang demikian, kata peguam Khalid, hanya satu usul tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau perbincangan dengan Sultan Selangor boleh membuktikan Khalid hilang sokongan.

Afiq merujuk penghakiman Mahkamah Persekutuan pada 2010 dalam kes Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin lwn Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di mana hakim Tun Ariffin Zakaria menyatakan “..evidence of loss of confidence in the MB may be gathered from other extraneous sources provided, as stated in Akintola, they are properly established. Such sources we think, should include the admission by the MB himself and/or representations made by members of the LA that the MB no longer enjoys the support of the majority of the members of the LA.”

"Saya percaya kita tidak lagi berkomunikasi menggunakan perantaraan burung merpati seperti zaman dahulu. Kebanyakan dari kita di Malaysia boleh mengetahui apa yg berlaku di segenap penjuru dunia kurang dari 2 saat.

"Adalah sesuatu yang mustahil dan tidak masuk akal untuk Khalid meragui 30 Adun yang tidak lagi yakin dengannya sebagai menteri besar," katanya.


Katanya, sekiranya Khalid merasakan perlunya diadakan satu undi tidak percaya dalam DUN, dia sendiri boleh memanggil satu sidang khas membentangkan satu undi tidak percaya ke atas dirinya.
"Bola berada di gelanggang Khalid kerana seorang menteri besar boleh memanggil satu sidang khas di DUN," katanya. – 17 Ogos, 2014.