PAS dijangka kekal bersama Pakatan, tolak Wan Azizah dalam mesyuarat hari ini

Apa sekali pun tindakan Pas yang lewat membuat keputusan yang sesetengah pihak mendakwa Pas sengaja melewatkannya , Wan Azizah sudah mempunyai majoriti yang cukup bagi membentuk kerajaan Baru pimpinannya di Selangor.



Dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini, parti itu dijangka akan kekal bersama Pakatan Rakyat bersama calon lain selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar Selangor. – Gambar The Malaysian Insider, 17 Ogos, 2014.  
 
Dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini, parti itu dijangka akan kekal bersama Pakatan Rakyat bersama calon lain selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar Selangor. – Gambar The Malaysian Insider, 17 Ogos, 2014.


 Jawatankuasa PAS Pusat yang bermesyuarat hari ini mempunyai 4 kemungkinan dalam menentukan masa depan parti Islam itu dan dijangka PAS akan memilih untuk terus bersama Pakatan Rakyat (PR), namun menolak cadangan PKR meletakkan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar Selangor.

Antara 4 kemungkinan pilihan parti itu adalah:
  • Kekal bersama Pakatan dan menyerahkan nama calon lain sebagai menteri besar Selangor kepada PKR.
  • Meninggalkan Pakatan dan berdiri sebagai sebuah parti secara individu.
  • Meninggalkan Pakatan dan menyertai Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membentuk kerajaan Selangor; atau
  • Menyokong pilihan calon PKR, Dr Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar dan kekal bersama Pakatan.
Seramai 38 anggota jawatankuasa pusat parti itu dijangka memilih pilihan pertama berdasarkan keputusan Majlis Syura sebelum ini yang menyuarakan sokongan kepada Khalid.


Selepas pemecatan Khalid daripada PKR, PAS bagaimanapun perlu berkompromi antara kehendak parti dan keperluannya untuk kekal dalam Pakatan.
  Ini kerana selain menyokong Khalid, Majlis Syura juga mahu PAS kekal dalam pakatan pembangkang, seperti mana Muktamar PAS sebelum ini memutuskan – untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat.
"Ustaz Hadi bersetuju untuk menggantikan Khalid tetapi PKR perlu berkompromi dan meletakkan calon lain selain Dr Wan Azizah," kata pemimpin kanan PAS, merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Jika Anwar (Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkeras mahukan Dr Wan Azizah, ini menunjukkan beliau bukan tidak mahukan Khalid, tetapi tetap mahukan Dr Wan Azizah."

Pandangan ini bagaimanapun dirosakkan sedikit apabila PKR menarik 2 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS – Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) – untuk menghadiri sidang media Dr Wan Azizah pada Khamis dan menyuarakan sokongan membentuk majoriti 30 Adun kepadanya, daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Nathaniel Tan, seorang penganalisis politik yang sebelum ini bekerja di pejabat menteri besar berkata, "Khalid khianat parti, PKR pecat. Kemudian jika ahli PAS ingkar arahan parti... err", merujuk kepada keputusan PKR  menarik 2 Adun PAS untuk menyokong Dr Wan Azizah.
Kesan daripada perkara itu, PAS boleh jadi akan mengambil pendirian kedua, iaitu meninggalkan PR kerana tidak begitu senang dengan tindakan PKR.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan dalam PAS. Sebahagian dalam PAS dilihat memihak kepada "pro-UG" (kerajaan campuran) yang mahukan PAS bekerjasama dengan Umno.

Tindakan PKR menarik Hasnul dan Saari menjadi senjata utama kumpulan pro-UG untuk mengajak  kepimpinan PAS meninggalkan Pakatan, sama ada bersama Khalid dan Umno membentuk kerajaan di Selangor atau berdiri sendiri.

Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan dalam komen di laman Facebook miliknya berkata:
"Budaya ancaman politik merebak ke dalam PAS. Adakah proses tapisan dilakukan secara semulajadi?"

Sementara itu, pemimpin PAS yang lain berkata: "Jika PAS berhenti memikirkan rasional dan marah dengan tindakan PKR, PAS akan meninggalkan Pakatan dan berjuang bersendirian."

Apa sahaja keputusan kepimpinan PAS hari ini, ahli jawatankuasa pusat menjangkakan isu meninggalkan Pakatan pasti hangat diperdebatkan memandangkan perbezaan antara pemimpinnya berlarutan terlalu lama.

"Saya pasti akan ada percanggahan antara mereka yang mahu kekal bersama Pakatan dan mereka yang marahkan PKR dan DAP," kata pemimpin PAS yang akan menyertai pertemuan itu hari ini kepada The Malaysian Insider.

Ekoran itu, mereka dijangka fokus terhadap tindakan Hasnul dan Saari.

Satu kumpulan berkata, kedua-dua Adun itu mahu menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat yang kini ditadbir Khalid, manakala satu kumpulan lain mendakwa mereka mendahului keputusan parti yang hanya bakal ditentukan hari ini.

Sentimen ini dicerminkan dalam kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menggesa semua pihak menantikan keputusan mesyuarat 17 Ogos.

"Melawan keputusan jawatankuasa tidak akan mendapat restu dan jika ada sebarang masalah, parti tidak akan bertanggungjawab," katanya dipetik media PAS Harakahdaily.


Bagaimanapun, seorang pemimpin PAS berkata kepada The Malaysian Insider, tindakan kedua-dua Adun itu adalah untuk menyelamatkan maruah Pakatan Rakyat yang kini dimusnahkan Khalid.
Ini kerana tindakan mereka berdua memusnahkan sama sekali harapan Khalid untuk mendapat majoriti mudah apabila harapannya kini tinggal 26 kerusi sahaja dari 56 kerusi dalam DUN iaitu 12 BN, 13 PAS dan Khalid sendiri. – 17 Ogos, 2014.




No comments: