SHAH ALAM, 19 MEI : Walaupun suaminya menjadi mangsa kekejaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Nor Laila Osman setia dan sabar menuntut kebebasan suaminya Mat Sah Mohd Satray yang ditahan selama lapan tahun.
Penerima Anugerah Isteri Setia ini merupakan seorang guru di sebuah sekolah swasta dan juga aktivis Gerakan Mansuh ISA (GMI) yang berjuang mencari jalan bagi membebaskan suaminya sejak 2002 hingga 2009.
Nor Laila berkata, walaupun suaminya dibebaskan namun dia akan terus bersama GMI untuk menerangkan kepada seluruh rakyat tentang akta tersebut.
“Saya tidak akan berhenti daripada terus menyebarkan maklumat mengenai kekejaman ISA ini,” katanya ketika memberikan ucapan.
Anugerah ini merupakan penghargaan daripada AMALNITA yang bernaung di bawah Yayasan Amal Malaysia (AMAL) dan disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali bersama Presiden AMAL, Husin Ismail pada Majlis Pelancaran AMALNITA di Kompleks PKNS pagi ini.
Selain pelancaran AMALNITA, majlis hari ini juga turut mengumpulkan sukarelawan untuk kerja-kerja kemasyarakatan serta misi bantuan kemanusiaan akan datang.
Selain Nor Laila, seorang warga emas Raden Siti Bahja Munir,73, turut menerima Anugerah Siti Khadijah di atas sumbangan selama 37 tahun meneruskan kerja dakwah dan kemasyarakatan.
Beliau melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia(ABIM) dan banyak menginfakkan harta untuk kerja-kerja amal sejak tahun 1975 sehingga kini.
Bagi Anugerah Ibu Berjasa, penerimanya adalah Siti Habsah Zakaria, 52, yang mengidap kanser payudara tahap ketiga.
Wanita gigih ini membesarkan empat orang anak termasuk seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) selepas suaminya meninggal dunia semasa anak-anaknya masih kecil.