KUALA LUMPUR, 19 MEI : Seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mendakwa diserang dan dipukul anggota polis dengan menggunakan pistol pada 28 April lalu ketika demonstrasi aman BERSIH 3.0.
Mangsa berkenaan Mohd Saufi Othman menjelaskan akibat daripada serangan tersebut kini masih berbekas di tubuhnya.
Menceritakan detik serangan itu, Mohd Saufi berkata, ia berlaku sekitar jam 5 petang dihadapan OCBC Bank berhampiran Masjid Jamek.
Beliau mendakwa dipukul secara beramai-ramai oleh anggota polis yang memakai uniform dan tidak mempunyai nombor.
“Saya dipijak dan ditumbuk hingga jatuh tetapi kemudian dibantu seorang yang ada berdekatan untuk bangun semula.
“Tetapi bila bangun dengan lagi ramai polis datang memukul dengan gari dan pistol serta diheret ke kawasan belakang. Saya kena dengan lebih teruk di mana anggota polis menumbuk saya secara berganti. Hidung saya berdarah teruk, bahagian kiri muka luka, tangan saya pun dan dada saya masih ada lebam kerana pistol itu,” katanya sambil menunjukkan bahagian tubuhnya yang cedera itu.
Mohd Saufi adalah salah seorang daripada kira-kira 17 orang mangsa BERSIH 3.0 yang hadir dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina di sini hari ini.
Seorang lagi peserta, Mohd Najib Rahim, 27, dari Kajang berkata, bahagian kepalanya mengalami retak akibat diserang dan dipukul sekumpulan polis pada hari berkenaan.
Dakwanya, insiden di Masjid India berlaku kerana provokasi polis sendiri biarpun dia mahu memberikan kerjasama dalam perkara tersebut.
“Polis serbu dalam masjid di mana saya lihat ada seorang tua terkena (pukul) dan saya cuba menyelamatkannya. Saya cuba bekerjasama dengan anggota polis tetapi lain yang terjadi apabila baju BERSIH saya ditarik dengan digambarkan saya melawan. Dengan itu anggota polis yang lain datang dan memukul dan menumbuk saya,” katanya.
Katanya, beliau turut diheret hingga ke Dataran Merdeka yang akhirnya dimasukkan ke dalam ‘Black Maria’ hingga malam.
Sementara itu, Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk A Samad Said berkata, pihaknya kesal kerana polis dilihat bertindak ganas.
Menurutnya, selepas penganjuran BERSIH 3.0 pelbagai aduan diterima mengenai kekejaman pihak berkuasa itu dengan pelbagai bukti dikemukakan.
“Amat mengecewakan hingga ke hari ini, pihak kerajaan tidak mengambil tindakan untuk mendakwa pegawai penguatkuasa yang telah menjalankan keganasan. Ini gambaran budaya kebal dan tidak bertanggungjawab pihak polis,” katanya.
Berikutan itu, BERSIH menyarankan betapa pentingnya satu badan bebas untuk mengandalikan siasatan terhadap apa yang berlaku.
“Ini untuk mengenal pasti apa dan siapa yang memulakan huru hara dan keganasan. BERSIH bersama SUARAM, Jawatankuasa Hak Asasi Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor serta Peguam Untuk Kebebasan (Lawyers For Liberty telah mengumpulkan pengakuan sah dari mangsa keganasan polis ketika Duduk Bantah BERSIH 3.0,” katanya.
Hingga kini, katanya, BERSIH telah mendapat aduan daripada 80 individu yang menjadi mangsa akibat keganasan pihak berkuasa itu.
Beliau menambah, pihaknya meminta mangsa yang lain merujuk kepada jawatankuasa BERSIH bagi membuat laporan dan tidak terus pergi kepada pihak polis secara bersendirian kerana ia diyakini mengundang bahaya.
Untuk tujuan itu, pihak terlibat boleh menghubungi talian 012-3496013 atau menyalurkan maklumat menerusi emel : info@bersih.org