Tawan Perak: Peluang Pakatan Cerah




SHAH ALAM 10 OKT : DAP yakin Pakatan Rakyat dapat menawan kembali Perak pada pilihan raya umum yang akan datang.

Keyakinan ini bersandarkan kepada kajian dalaman DAP negeri itu pada Julai tahun lalu yang menunjukkan sentimen pengundi terhadap Pakatan itu masih positif.

Menurut Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham pengundi Perak masih menaruh harapan kepada Pakatan walaupun kemarahan masyarakat terhadap pengulingan pemerintahnya oleh Barisan Nasional dua tahun lepas sudah reda.

"Kemarahan sudah reda tetapi sebuah kajian pada bulan Julai tahun ini menunjukkan yang Pakatan Rakyat masih boleh menang 33 daripada 59 kerusi (DUN) jika pilihan raya diisytiharkan," Ngeh berkata demikian ketika berucap dalam konvensyen DAP Perak Ahad lalu.

Kerajaan Pakatan Perak dijatuhkan pada Mac 2009 selepas tiga Adunnya, termasuk timbalan speaker Dewan Negeri, mengistiyarkan keluar parti dan menjadi Adun bebas.

Mereka ialah Hee Yit Foong (Jelapang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) kemudian bertindak menyokong Barisan Nasional(BN).

Krisis kejatuhan kerajaan Pakatan Perak ini menimbulkan rasa tidak puashati rakyat negeri itu kerana merasakan pilihan mereka dalam sistem demokrasi dikhianati oleh Umno-BN.

Tindakan Pakatan melalui saluran mahkamah juga gagal.

Di dalam ucapannya, Ngeh mengingatkan perwakilan di konvesyen itu supaya tidak mengambil mudah hasil kajian itu kerana lapan kerusi Pakatan juga berisiko tinggi kerana menang dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi.

"Pada masa yang sama kita boleh menang besar kerana BN ada 10 kerusi yang ia menang dengan kurang daripada 1,000 undi. Tiga daripada kerusi tersebut kurang dari 100 undi. Iaitu Pengkalan Baru 40 undi, satu kerusi (Kubu Gajah) dengan 66 undi dan Alor Pongsu, 95 undi.

"Pakatan menang 31 kerusi pada (pilihanraya 2008) dan kalau kita boleh menang 10 kerusi di mana BN menang dengan majoriti kurang 1,000 undi, kita boleh dapat 41 kerusi," katanya.

No comments: