Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Marimuthu Nadason berkata, pengetahuan pengguna yang cetek berhubung perancangan kewangan yang sihat adalah punca utama rakyat Malaysia bergelar muflis pada usia muda.
"FOMCA percaya dan yakin bahawa pendidikan kewangan mampu membantu pengguna kerah kesejahteraan hidup.
"Maka jelaslah pengurusan kewangan bukan sahaja penting untuk kesejahteraan kewangan malah untuk kebahagiaan diri dan keluarga, antara amalan yang membawa kepada situasi ini adalah kerana tiada tabungan, penyalahgunaan kad kredit, perbelanjaan melebihi pendapatan," beliau berkata demikian dalam pada majlis pelancaran program 'RINGGIT Pertama Saya' di sini, baru-baru ini.
Bulan Kewangan Berhemat merupakan inisiatif FOMCA untuk menggalakkan tabiat kewangan yang sihat di kalangan rakyat Malaysia.
Oktober dipilih untuk dijadikan Bulan Kewangan Berhemat Nasional dengan temanya ‘Tanggungjawab Kewangan Bermula Dengan Saya'.
Sebagai rekod, kajian FOMCA mendapati 60 peratus pekerja muda berdepan masalah hutang yang serius, manakala 72 peratus pula tidak mempunyai perancangan untuk menghadapi pesaraan.
Mengulas lanjut, Marimuthu mengesa pengguna agar mengkaji dan mempertimbangkan terlebih dahulu asas-asas belanjawan, cara untuk menguruskan kredit, membina simpanan, melindungi aset, bersedia untuk persaraan dan melindungi diri demi masa depan yang lebih sejahtera dan terjamin.